BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Sebelum membuat rencana baru, pastikan anda sudah membaca laman-laman buatan yang lain terlebih dahulu.

Berikut ialah panduan ringkas untuk mengarang rencana berasaskan jenis topik:

Rencana episod

Rencana episod pada asasnya terdiri daripada bahagian-bahagian pengenalan, Ringkasan dan/atau Plot, dan Video; dengan Trivia, dan Kesilapan sebagai tambahan.

Tajuk rencana episod harus mengikuti format [[Musim x, Episod y]].

PERHATIAN: Satu perkara yang mengelirukan pengikut setia BoBoiBoy adalah bahawa musim pertama BoBoiBoy sebenarnya diterbitkan secara suku jam (12 minit) per episod, tetapi ditayangkan di TV3 secara tayangan setengah jam (iaitu dua episod suku jam berturut-turut dalam satu slot setengah jam; sila rujuk gambar rajah di sebelah kanan).

Demi kemudahan pembaca wiki ini, satu rencana dibuat untuk tayangan setengah jam (iaitu dua episod dalam satu rencana). Keberduaan episod rencana ini harus dicerminkan dalam tajuk, iaitu Musim 1, Episod 1 & 2, Musim 1, Episod 3 & 4, dsb. Pautan kepada episod tunggal (Episod 1, Episod 2 dsb) harus dilencongkan ke rencana-rencana yang mengandungi episod itu (Musim 1, Episod 1 & 2#Episod 2 dsb). Demi kefahaman pembaca, episod suku jam wajar dibezakan dengan tayangan separuh jam dengan meletakkan notis Untuk tayangan setengah jam yang ke-w, sila ke [[Musim 1, Episod y & z]]. di bawah tajuk kecil episod yang menerima lencongan.

Tetapi mulai musim kedua, siri BoBoiBoy diterbitkan dalam format setengah jam seepisod, iaitu seluruh tayangan setengah jam di TV3 diisi oleh satu episod sahaja. Oleh itu, tajuk episod haruslah seperti berikut: Musim 2, Episod 1, Musim 2, Episod 2 dsb.

  • Mulakan rencana episod dengan templat kotak info {{Episod}}. Isikan:
    • gambar yang berpatutan (cekupan skrin dari episod itu) dalam ruangan gambar.
    • nombor musimnya dalam ruangan musim;
    • nombor episod dalam musim itu dalam ruangan episod;
    • tajuk episod dalam ruangan tajuk; dan
    • tarikh diterbitkan (tayangan perdana) dalam ruangan tarikh;
  • Tuliskan plot episod selengkap-lengkapnya. Anda boleh merakam episod itu dari TV, streaming, atau DVD untuk meneliti episod-episod BoBoiBoy, tetapi yang senang sekali ialah melayari saluran YouTube Monsta (terdapat episod BoBoiBoy (musim 1 hingga 3), BoBoiBoy Galaxy (musim 1), dan spinoff-nya), dan menghuraikan satu demi satu peristiwa yang berlaku dengan padat dan menyeluruh dalam rencana episod. Anda tidak dihalang daripada merujuk video cetak rompak, tetapi ingat, video cetak rompak tidak boleh dipautkan ke sini!
  • Pecahkan bahagian plot rencana itu kepada 2 bahagian untuk mencerminkan keberduaan episod dalam satu tayangan seperti yang diungkit dalam perenggan perhatian, cth: bahagian "Plot" Episod 1 & 2 dibahagikan kepada dua tajuk kecil iaitu "Episod 1" dan "Episod 2".
  • Jika tiada masa atau sekadar malas hendak menulis plot sedemikian, apa kata anda tulis pula ringkasan yang mengetengahkan elemen-elemen terpenting dalam jalan cerita dalam satu perenggan empat lima baris. Semoga pada masa yang akan datang, anda atau ahli yang lain akan mengembangkan ringkasan itu menjadi plot yang cukup lengkap.
  • Anda juga boleh membuka tajuk kecil Trivia untuk menyatakan perkara-perkara menarik dalam episod yang tidak berkenaan dengan plot; dan juga Kesilapan untuk menerangkan kesilapan atau kemusykilan animasi atau penceritaan yang terdapat pada episod itu.
  • Anda boleh menangkap gambar (screenshot) daripada video episod untuk dimuat naik ke dalam rencana. Disarankan memasang extension Screenshot Youtube dari Chrome Web Store. Selepas dipasang, akan muncul butang "Screenshot" di bahagian bawah video, tekan sahaja dan simpan gambar dalam komputer, kemudian muat naik.
  • Rencana boleh diakhiri dengan pembenaman (embedding) video dari akaun YouTube rasmi Monsta di bawah sekali rencana. Tekan butang Video di kanan, isikan URL video dalam ruangan pertama dan setkan video itu supaya terjajar ke tengah demi kekemasan. Sekali lagi kami ingatkan, jangan letak video cetak rompak!

Rencana watak

Rencana watak pada asasnya terdiri daripada bahagian-bahagian pengenalan, Kuasa (bagi watak berkuasa super), Rupa, dan Perwatakan, dengan Galeri sebagai tambahan.

  • Mulakan rencana watak dengan templat kotak info {{watak}}. Isikan:
    • nama watak dalam ruangan nama;
    • gambar terbaik bagi watak itu dalam gambar;
    • kuasa-kuasa yang dimiliki oleh watak itu dalam ruangan kuasa;
    • episod penampilan pertama watak itu dalam ruangan pertama;
    • pelakon suaranya dalam ruangan suara;
    • ahli-ahli keluarganya dalam ruangan keluarga.
  • Perenggan pertama rencana watak haruslah merupakan satu ringkasan bagi watak itu; nyatakan hubungan watak itu dengan watak utama (BoBoiBoy) ataupun kawan terdekatnya, pekerjaannya dan satu dua sifat perwatakannya yang paling menonjol.
  • Di bawah tajuk kecil Kuasa (bagi watak yang mempunyai kuasa super), senaraikan dan/atau huraikan kuasa dan jurus yang dikuasai oleh adiwira tersebut.
  • Di bawah tajuk kecil Rupa, huraikan bentuk muka, bentuk badan, gaya rambut dan pakaian watak itu sebaiknya.
  • Di bawah tajuk kecil Perwatakan, sila pastikan anda menghafal perwatakan watak itu selama anda mengikuti siri BoBoiBoy, dan huraikan selengkapnya sifat-sifat dan perilaku lazim yang terdapat pada watak itu.
  • Rencana watak boleh diserikan dengan Galeri yang mengandungi pelbagai gambar menarik tentang watak berkenaan.
Advertisement