BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


BoBoiBoy Kembali! merupakan episod pertama dalam musim pertama siri BoBoiBoy Galaxy. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 25 November 2016.

Ringkasan[]

Koko Ci dan MotoBot telah terperangkap di angkasa daripada pemburu Power Sphera dan konco-konco pemburu itu menuju ke kapal angkasa Koko Ci. BoBoiBoy dan Gopal mengambil peluang itu untuk menjadi superhero dengan mengalahkan pemburu Power Sphera itu.

Plot[]

Kejar mengejar di angkasa

Kapal angkasa Koko Ci dikejar.

Kapten Lanun sedang memburu Komander Koko Ci dan MotoBot di angkasa lepas. Kapal angkasa Koko Ci telah berjaya menyembunyikan diri dari pemburu Power Sphera tersebut di belakang sebuah asteroid. Terdesak mencari pertolongan, Koko Ci segera menghubungi BoBoiBoy untuk meminta pertolongan.

Main bola kanak-kanak

Kanak-kanak bermain bola di padang.

Sementara itu, di Planet Bumi, tiga orang kanak-kanak sedang bermain bola sepak di padang berdekatan kedai Tok Aba. Seorang daripadanya berangan ingin menjadi seperti BoBoiBoy, superhero Bumi. BoBoiBoy dan Gopal memerhatikan mereka dari kedai Tok Aba. BoBoiBoy mengujar terbaik ketika melihat kanak-kanak itu bermain bola dan Gopal berasa cemburu dengan populariti BoBoiBoy, membuatkan Ochobot mengusiknya. Gopal mempersoalkan kewajaran Ochobot kerana memberi kuasa elemental kepada BoBoiBoy, namun Ochobot membidas dengan kesanggupan Gopal untuk menukar kuasa makanannya. Tetapi, Gopal yang gementar menjawab bahawa dia tidak sanggup.

BoBoiBoy mula bertanya adakah mereka tidak bosan kerana sudah lama tidak menjadi superhero. Gopal membalas dengan menukarkan meja menjadi makanan lalu dimarahi Tok Aba. BoBoiBoy berkata kali terakhir dia menggunakan kuasanya adalah pada tiga minggu lepas, untuk menolong kucing. Tok Aba menyuruh BoBoiBoy bersyukur kerana tiada yang memerlukan bantuan mereka, dan BoBoiBoy hanya rasa tidak seronok apabila kuasanya tidak digunakan selalu. Tiba-tiba, kanak-kanak yang bermain bola tadi meminta bantuan BoBoiBoy dan Gopal untuk mengambil bola yang tersangkut di dahan pokok.

Menyamar jadi budak cleaner

Koko Ci sempat menyamar menjadi budak suruhan.

Sementara itu, Kapten Lanun masih mencari lokasi kapal angkasa Koko Ci. Dia meminta konconya untuk memintas komunikasi mereka dan berjaya. Apabila Koko Ci sedar mereka dapat memintas komunikasi mereka, dia segera menyamar menjadi budak suruhan. Apabila Kapten Lanun melihat Koko Ci sebagai budak cleaner, dia menyuruh Koko Ci untuk memanggil kapten kapal tersebut. Koko Ci dengan sengaja membuatkan air tertumpah ke tempat kawalan komunikasi, membuatkan komunikasi terputus. Kapten Lanun begitu marah dengan sikapnya kerana tidak mahu bercakap dengannya. Kemudian Koko Ci segera menghubungi Ochobot.

Di Planet Bumi, BoBoiBoy dan Gopal berebut untuk menolong kanak-kanak tersebut. Gopal menolaknya dan ingin menolong mereka. Namun, budak tersebut inginkan BoBoiBoy yang menolongnya. BoBoiBoy segera bertukar menjadi BoBoiBoy Petir. Gopal cuba menghalang namun terkena renjatan elektrik, lalu ditertawakan oleh kanak-kanak itu. BoBoiBoy terus memecut ke dahan pokok dan cuba mengambil bola tersebut dengan berhati-hati. Tiba-tiba, Gopal menukarkan pokok menjadi gula-gula pusing, membuat ketiga-tiga budak kagum melihatnya. BoBoiBoy Petir terjatuh akibat gula-gula yang patah bersama-sama bola tersebut. Bola bergolek ke arah Gopal namun dihalang oleh BoBoiBoy Angin. Gopal merasa sangat tidak puas hati lalu menyerang menggunakan kuasa tembakan makanannya. BoBoiBoy Tanah menggunakan Tanah Pelindung untuk melindungi bola tersebut, namun tembakan Gopal terkena bola dan akhirnya bola tersebut menjadi cekodok.

Cekodok bola sedap

Bola dah tertukar kepada cekodok.

Budak tersebut menangis dan melarikan diri bersama dua lagi rakannya. Ochobot menyalahkan mereka berdua kerana terlalu terdesak untuk menolong orang lain. Tiba-tiba, Ochobot seolah-olah terkena renjatan elektrik. Gopal mula risau tetapi Ochobot memberitahu bahawa dia tidak apa-apa. Hologram Koko Ci terpampang di depan mata mereka berdua. Koko Ci meminta bantuan BoBoiBoy dan memohon Ochobot untuk bukakan teleportal di Bumi. BoBoiBoy bertanya siapa di sebelahnya itu, namun Koko Ci berkata dia akan cerita kemudian.

Teleportal berjaya dibuka namun Lanun Angkasa terperasan akan kewujudan teleportal di hadapan mereka. Kapal angkasa Koko Ci memecut laju dan hampir berjaya keluar dari teleportal, namun dihalang oleh Lanun Angkasa. Mereka melepaskan lembing pencangkuk dan menyuruh konco-konconya pergi ke kapal angkasa Koko Ci. Koko Ci meminta tolong kepada BoBoiBoy.

Yay main papan luncur di angkasa

Konco Lanun Angkasa bergerak ke kapal angkasa Koko Ci.

BoBoiBoy berasa teruja untuk menolong, lalu terus bertukar menjadi BoBoiBoy Angin, kemudian menggunakan Tolakan Angin untuk menerbangkan konco-konco Lanun Angkasa. Serangan Bebola Angin digunakan untuk konco yang terakhir. Konco tersebut sempat menembak BoBoiBoy. BoBoiBoy terjatuh namun bertukar menjadi BoBoiBoy Petir dan menggunakan kuasa Pedang Petir. Konco tersebut ingin menyerang menggunakan senjata tajam, namun ia sempat ditukar menjadi lolipop oleh Gopal, dan dia terus menggunakan kuasanya dengan menembak ke tali yang menyekat kapal angkasa Koko Ci dan menukarkannya kepada spageti.

Adeh sakitnya

Senjata tajam ditukarkan kepada makanan.

Namun, sebahagian badan kapal angkasa Koko Ci juga ditukarkan kepada makanan. Konco tersebut dapat masuk ke dalam kapal angkasa tersebut. Apabila mereka masuk dan cuba menyerang Koko Ci dan MotoBot, mereka dihalang oleh BoBoiBoy Petir. Selepas keluar dari kapal angkasa, BoBoiBoy telah bersiap sedia berlawan dengan konco-konco yang bangkit melawan. BoBoiBoy terus menggunakan kuasa tiganya untuk menghapuskan mereka, dan diakhiri dengan pemotongan tali terakhir yang menghalang kapal angkasa Koko Ci.

Tutup teleportal tu Ochobot

Tutup teleportal tu Ochobot!

Kapten Lanun bertindak pantas dengan melepaskan cangkuknya kepada kapal angkasa tersebut, namun berjaya diputuskan apabila teleportal ditutup. Kapten Lanun berasa amat marah dan berazam untuk mencari BoBoiBoy sampai dapat. Walau bagaimanapun, kapal angkasa tersebut tidak dapat dikawal dan mula terhempas ke bawah menghala ke Gopal. Gopal melarikan diri menghala ke kedai Tok Aba, membuatkan Tok Aba juga terkejut dengan kehadiran kapal angkasa tersebut. Kapal angkasa itu akhirnya berhenti betul-betul selepas terkena pipi Gopal lalu pengsan.

Sikit lagi nak terlanggar

Kapal angkasa Cici Ko hampir melanggar Gopal.

Di kedai Tok Aba, Koko Ci mengucapkan terima kasih kepada BoBoiBoy kerana membantunya. BoBoiBoy bertanya kenapa mereka ingin menangkap Koko Ci, dan Koko Ci menjawab seperti biasa, mereka inginkan Power-Power Sphera seperti MotoBot. BoBoiBoy tertanya-tanya apa kuasa MotoBot, lalu MotoBot menjawab ia mempunyai teknologi untuk menghasilkan kenderaan.

Gopal yang baru tersedar dari pengsan masih trauma dengan peristiwa tadi. Selepas yakin dia masih hidup, Gopal terus memesan coklat tarik panas kepada Tok Aba sebelum menyedari kelibat Koko Ci. Koko Ci dan MotoBot memperkenalkan diri kepada Gopal. Gopal teruja apabila mengetahui MotoBot adalah Power Sphera Kenderaan lalu dia mengharapkan ia dapat memberinya kereta sebiji. Ochobot mengeluh kepada BoBoiBoy mengatakan bahawa Gopal belum ada lesen, namun nampaknya BoBoiBoy juga inginkan motosikal daripada MotoBot.

Ye, TAPOPS

Koko Ci memberitahu BoBoiBoy dan Gopal tentang TAPOPS.

Namun, Koko Ci berkata bahawa Power Sphera tidak boleh digunakan sesuka hati atau mereka akan sama sahaja dengan kumpulan-kumpulan jahat yang lain seperti Lanun Angkasa tadi. BoBoiBoy menjadi hairan. Koko Ci terus menerangkan bahawa banyak Power Sphera bertaburan di sekitar galaksi dan ramai yang ingin menangkap mereka untuk kepentingan peribadi. Jadi, Koko Ci menjelaskan bahawa menyelamatkan mereka adalah tugasnya sebagai komander pasukan TAPOPS (Tracker And Protector Of Power Spheras). Mereka bertanya apa tugas TAPOPS, lalu Koko Ci terus menyanyi dan menari dengan lirik berikut:

BBB_Galaxy_TAPOPS_Theme_Song_(Sing-along)

BBB Galaxy TAPOPS Theme Song (Sing-along)

TAPOPS mengembara satu galaksi,
Mencari Power Sphera untuk dilindungi,
Power Sphera tak boleh salah guna,
Oleh si alien, si alien, si alien,
DURJANA!

TAPOPS mengembara satu galaksi,
Mencari Power Sphera untuk dilindungi,
TAPOPS mengembara satu galaksi!

Selepas menyanyi lagu tersebut, BoBoiBoy sempat memberitahu bahawa mereka tidak pandai menari, namun Gopal nampaknya menikmati lagu itu sambil menari, membuatkan BoBoiBoy berasa tidak puas hati. Koko Ci kemudian mempelawa BoBoiBoy untuk menyertai pasukan TAPOPS. Namun, BoBoiBoy menolaknya dengan alasan dia perlu melindungi Bumi. Gopal membantah dengan mengatakan bahawa sudah tiada pengacau di Bumi ini. BoBoiBoy terdiam buat seketika. Koko Ci berasa serba salah dan memberikan sedikit masa kepada BoBoiBoy untuk berfikir sementara dia memperbaiki kapal angkasanya.

Maklumat BoBoiBoy dan Gopal

Lanun Angkasa mendapatkan maklumat tentang BoBoiBoy dan Gopal.

Kembali ke angkasa, Kapten Lanun telah menggantikan cangkuknya dengan cangkuk baru yang lebih canggih. Dengan geramnya dia bertanya siapa budak-budak yang menyelamatkan MotoBot tadi. Konconya berkata bahawa BoBoiBoy adalah superhero elemental manakala Gopal adalah superhero material makanan. Kedua-dua kuasanya datang dari Power Sphera Ochobot. Kapten Lanun berasa aneh bagaimana Power Sphera tersebut mempunyai dua kuasa yang berbeza dan mempunyai Kuasa Teleportasi sekali.

Konconya tidak mengetahui maklumat yang lain serta tidak dapat mengklasifikasikan ke dalam sebarang kumpulan Power Sphera. Kapten Lanun berasa optimis dan ingin mendapatkan kedua-dua Power Sphera Ochobot dan MotoBot. Konconya berkata lokasi planet tidak diketahui, dan Kapten Lanun mengarahkan konconya untuk mengikut koordinat lokasi yang ada pada cangkuk lamanya dan mereka terus bergerak ke Bumi.

Cangkuk lama dibuang

Koko Ci menyedari tentang cangkuk lama Kapten Lanun, kemudian membuangnya begitu sahaja.

Di Bumi, kelihatan Koko Ci sedang membaiki kapal angkasa semasa waktu senja. Semasa membaiki kapal angkasa, dia terperasan akan cangkuk lama Kapten Lanun namun mencampakkannya, tetapi membiarkannya sahaja.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

  • Koko Ci hanya pernah memakai kaca mata hitam ketika menyanyikan lagu TAPOPS dalam versi komik.
  • Dalam siri, ada tiga orang kanak-kanak bermain bola manakala dalam komik, terdapat dua orang sahaja.
  • Versi komik tidak menunjukkan kanak-kanak tersebut menangis selepas bolanya bertukar menjadi cekodok.
  • Dalam siri, konco Lanun Angkasa menyerang BoBoiBoy Petir menggunakan senjata tajam dan bertukar menjadi lolipop. Dalam versi komik, konco Lanun Angkasa menyerang menggunakan mop dan bertukar menjadi sayur.
  • Hanya ada satu Konco Lanun memasuki kapal angkasa, dan MotoBot dilihat bersembunyi di belakang Koko Ci.
  • Versi komik menunjukkan BoBoiBoy Petir menyeru "Keris Petir" berbanding "Pedang Petir".
  • Dalam siri, kapal angkasa Koko Ci terkena pipi Gopal manakala dalam versi komik, Gopal bersandar di kedai Tok Aba dan pipinya tidak terkena kapal angkasa Koko Ci.
  • Gopal tersedar dari pengsan di kedai koko Tok Aba di dalam komik.
  • Dalam komik, Gopal berkata bahawa TAPOPS berbunyi seperti K-POP tetapi tidak ditunjukkan dalam siri.
  • Dalam siri, Gopal kelihatan menari selepas lagu TAPOPS tetapi tiada dalam versi komik.
  • Dalam versi komik, MotoBot memberitahu bahawa beliau terpaksa menari sekali namun tidak ditunjukkan dalam siri.
  • Dalam siri, Koko Ci membaiki kapal angkasa sebelum terjumpa cangkuk lama namun dalam komik, hanya ditunjukkan cangkuk yang berada di badan kapal angkasa Koko Ci.

Watak[]

Trivia[]

  • Pada mulanya, pihak Monsta memuat naik episod ini ke YouTube pada 11 November 2016 sebagai previu 11 minit bagi episod ini. Kemudian pada 25 November 2016, pihak Monsta menamakan semula episod ini sebagai "Episod 01 (Bahagian 1)" dan Episod 01 (Bahagian 2) pula dimuat naik pada tarikh yang sama.
  • Episod ini telah dipisahkan kepada dua bahagian, iaitu di mana Bahagian 1 dimuat naik ke YouTube pada 11 November 2016 dan Bahagian 2 pada 25 November 2016, iaitu tarikh tayangan perdana episod ini di TV3.
  • Terdapat beberapa kesilapan dalam episod ini apabila dimuat naik sebagai previu awal. Bagaimanapun, semua kesilapan ini telah diperbetulkan menerusi siaran di TV3 dan episod penuh di YouTube Monsta:
    • Rambut Gopal yang serabai berubah menjadi rambut asalnya ketika dia mengejar bola dalam Bebola Angin milik BoBoiBoy Angin.
    • Ketika BoBoiBoy Angin mengambil bola itu, pokok di belakangnya berubah menjadi asal walaupun ia telah ditukarkan menjadi gula-gula kapas oleh Gopal.
    • Ketika salah seorang kanak-kanak menangis selepas bolanya ditukarkan menjadi cekodok, bayang-bayang kanak-kanak bertopi merah tidak bergerak serentak dan pada masa yang sama, bayang-bayang bola itu juga hilang.
  • Ketika Konco Lanun sedang mengumpulkan maklumat tentang kuasa BoBoiBoy, skrin itu menunjukkan kesemua kuasa elementalnya, termasuk Duri dan Solar iaitu dua evolusi yang diperoleh BoBoiBoy dalam BoBoiBoy: The Movie.
  • Episod ini awalnya bertajuk "BoBoiBoy Kembali". Tanda seru ditambah selepas musim pertama berakhir.

Galeri[]

Kategori utama: Gambar BoBoiBoy Kembali!

Video[]

Advertisement