BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Fang Penyelamat merupakan episod keenam dalam musim pertama siri BoBoiBoy Galaxy. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 30 Disember 2016.

Ringkasan[]

BoBoiBoy dan kawan-kawannya menaiki kapal angkasa Koko Ci dan menuju ke Stesen Angkasa TAPOPS, tetapi mereka ditimpa masalah apabila tidak sengaja berhenti di suatu tempat larangan dan terpaksa berlawan dengan Nyamuk Amok.

Plot[]

Di Bumi, Komander Koko Ci dengan senang hatinya mengumumkan bahawa kapal angkasanya telahpun siap diperbaiki, membuatkan BoBoiBoy dan rakannya yang lain bersorak kegembiraan. Kini sudah tiba masanya untuk anggota pasukan TAPOPS berangkat ke stesen angkasa pasukan TAPOPS. Lalu Komander Koko Ci pun menyuruh Ochobot membuka teleportal. Sebelum berlepas ke angkasa, BoBoiBoy sempat bersalaman dengan Tok Aba manakala Papa Zola pula bersedih kerana terpaksa berpisah dengan kucing kesayangannya, Cattus.

Ketika di ruang angkasa, BoBoiBoy dan rakan-rakannya teruja melihat keindahan pemandangan di angkasa lepas. Pada masa yang sama, Ochobot mengeluh keletihan setelah menggunakan tenaga yang banyak. Lalu Komander Koko Ci membawa Ochobot dan juga yang lain ke sebuah bilik Power Sphera untuk dia berehat dan mengecas tenaganya semula. MotoBot turut berada di situ sedang berehat dan mengecas tenaganya, lalu Cattus dan BellBot berehat di situ. Yaya dan Ying turut diberikan sebuah bilik yang cantik dan luas tetapi BoBoiBoy dan Gopal sebagai kadet bawahan cuma mendapat stor sebagai bilik mereka. Walaupun begitu, BoBoiBoy tetap menasihati Gopal untuk bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai tempat untuk berehat.

Tiba-tiba kapal angkasa bergegar, dan Ying menghubungi BoBoiBoy dan menyuruh mereka untuk segera datang ke tempat kawalan. Sebaik sampai tiba di sana, mereka mendapati Papa Zola sedang mengendali kapal angkasa itu. BoBoiBoy dan Gopal terkejut manakala Cici Ko marah sambil bertanya apa yang Papa Zola buat di situ dan Papa Zola menjawab, dia hanya merindukan Cattus sehinggakan dia sanggup menyeludup masuk ke dalam roda kapal angkasa.

Kemudian Papa Zola mengajak mereka untuk meneruskan perjalanan dengan kapten baru kapal angkasa itu iaitu "Kapten Kebenaran Papa Zola"! Komander Koko Ci terkejut lalu bertanya siapa yang memberikan kebenaran kepadanya untuk menjadi kapten kapal, lalu Papa Zola menjawab bahawa "Kebenaran tak perlukan kebenaran", membuatkan Cici Ko naik berang akan Papa Zola yang merepek lalu berlaku perebutan pemanduan kapal angkasa antara Papa Zola dan Cici Ko.

Melihat perbuatan komander dan cikgunya, Yaya menyuruh mereka berdua supaya bertenang dan tidak bergaduh, lalu Komander Koko Ci bertegas kepada Papa dengan mengatakan bahawa itu adalah kapal angkasanya. Tiba-tiba kapal angkasa melanggar sesuatu objek yang menyebabkan kesemua mereka terjatuh. MotoBot turut tersedar dari hibernasi di bilik Power Sphera, lalu bangun dan cuba mengejutkan Cattus, BellBot dan Ochobot dengan memanggil mereka. Namun disebabkan mereka tidak sedar, MotoBot segera keluar dan pergi ke bilik kawalan dan bertanyakan apa yang telah berlaku.

Setelah dilihat, ternyata kapal angkasa mereka telah berlanggar dengan sisa-sisa kapal angkasa yang terbiar. Komander Koko Ci amat terkejut kerana kapal angkasa mereka telah tersasar ke tempat larangan, walhal beliau telah mengesetkan perjalanan yang selamat ke stesen angkasa TAPOPS. Tiba-tiba mereka terdengar suatu bunyi dari luar kapal angkasa. BoBoiBoy dan rakan-rakannya terkejut apabila Cici Ko memberitahu bahawa kapal angkasa itu telah didatangi Nyamuk Amok iaitu nyamuk-nyamuk angkasa yang akan menyedut kesemua tenaga kapal angkasa yang berani melalui di kawasan itu.

Mendengar perkara itu, BoBoiBoy meminta mereka untuk berbuat sesuatu dengan cepat. Papa Zola mengawal kapal angkasa untuk cuba mengundurkannya, namun sudah terlambat kerana kapal angkasa telah tersekat lalu kawalan diambil alih oleh Komander Koko Ci. Pada masa yang sama, nyamuk-nyamuk angkasa telah mula menyedut tenaga kapal angkasa mereka. BoBoiBoy mencadangkan kepada Komander Koko Ci untuk mereka keluar dan menghalang nyamuk-nyamuk itu. Lalu, Komander Koko Ci mengarahkan MotoBot untuk memberikan kenderaan angkasa kepada BoBoiBoy dan rakan-rakannya.

Dengan penggunaan kenderaan angkasa itu, BoBoiBoy dan rakan-rakannya telah berjaya mengalahkan nyamuk-nyamuk angkasa itu dan melaporkannya kepada Komander Koko Ci. Tetapi Papa Zola memberitahu bahawa Komander Koko Ci telah pergi ke belakang, dan tiba-tiba dengan cemas menyuruh mereka berhati-hati kerana sekampung lagi nyamuk angkasa semakin menghampiri ke arah mereka. Apabila salah seekor nyamuk menyerang, BoBoiBoy menyuruh kawan-kawannya untuk mengelak dari mereka.

Sementara itu, Komander Koko Ci dan MotoBot sedang berada di bilik enjin dan mendapati bahawa kapal angkasa mereka telah kehilangan majoriti tenaga dan enjin reaktor perlu dicaj menggunakan panel tenaga solar. Berbekalkan sedikit tenaga yang ada, Komander Koko Ci menyuruh Papa Zola untuk menghantar isyarat S.O.S (Save Our Ship). Di angkasa BoBoiBoy dan rakan-rakannya terus berjuang melawan nyamuk-nyamuk angkasa yang semakin banyak. Kehadiran nyamuk-nyamuk angkasa yang bagaikan tak habis-habis telah membuatkan BoBoiBoy, Gopal, Yaya dan Ying buntu akan apa yang perlu dilakukan.

Akhirnya bantuan sudah tiba di situ dengan sebuah kapal angkasa yang muncul dan menurunkan seorang remaja. BoBoiBoy seakan-akan mengenali remaja yang datang untuk membantu itu. Rupa-rupanya, dia adalah sahabat lama mereka iaitu Fang, yang datang untuk memberi bantuan. Geram dengan nyamuk-nyamuk angkasa yang menyerang rakan-rakannya, Fang menggunakan kuasa Jerangkap Jari Bayang dan berjaya mengalahkan nyamuk-nyamuk angkasa itu.

Fang turun dari kenderaan angkasanya lalu menuju ke arah sahabat-sahabat lamanya iaitu BoBoiBoy, Gopal, Yaya dan Ying. Tetapi sebaik sahaja melihat Fang, mereka semua mentertawakannya kerana fesyen helmetnya yang lawak dan berbentuk cendawan. Fang marah apabila Gopal mengatakan trend fesyen helmet terkininya itu umpama cendawan hidup. MotoBot bertanya siapakah Fang kepada Komander Koko Ci, lalu menjelaskan bahawa Fang merupakan bekas anggota pasukan BoBoiBoy dan dia mempunyai kuasa memanipulasi bayang. Yaya bertanya kepada Fang jika dia bersendirian dari kapal angkasanya, lalu Fang menjelaskan bahawa dia sebenarnya sedang dalam latihan solo memandu kapal angkasa sebelum ternampak isyarat S.O.S dari kapal angkasa mereka. Tetapi Gopal sengaja mengusiknya lagi, membuatkan Fang naik berang.

Sedang Yaya mengatakan bahawa ia bukannya masa untuk bergaduh, tiba-tiba nyamuk angkasa datang menyerang lagi. Kali ini nyamuk-nyamuk itu berwarna jingga dengan saiz yang lebih besar daripada sebelumnya. Ying meminta kepada Yaya dan Gopal agar mereka mempertahankan kapal angkasa manakala BoBoiBoy mengajak Fang untuk menyerang nyamuk-nyamuk angkasa itu. BoBoiBoy menggunakan Kuasa Tiga dan Fang menyeru Helang Bayang untuk menyerang. Selepas MotoBot berkata bahawa kapal angkasa itu sudah boleh bergerak dengan kelajuan minima, Papa Zola meminta untuk mara ke arah BoBoiBoy dan Fang setelah mendapat satu idea.

Disebabkan oleh serangan-serangan tidak berkesan terhadap nyamuk-nyamuk itu, BoBoiBoy menyeru untuk bercantum semula, lalu menggunakan pula Kuasa Elemental BoBoiBoy Daun. Sebelum menyerang, dia perasan akan Fang yang terpegun melihat kuasa baru BoBoiBoy, membuatkan BoBoiBoy Daun terhenti seketika dan berkata "Tragedi Fesyen" kepada Fang lalu berlepas meninggalkannya. BoBoiBoy Daun menyeru Perangkap Keriuk Pera dan mengarahkannya untuk memakan nyamuk itu seekor demi seekor. Melihat BoBoiBoy Daun, Fang tidak mengalah lalu menyeru Insektivora Pokok Bayang yang turut memakan nyamuk-nyamuk itu.

Akhirnya dengan kuasa BoBoiBoy Daun dan Fang telah berjaya mengalahkan nyamuk-nyamuk angkasa itu. Tetapi secara tiba-tiba muncul pula ketua nyamuk angkasa yang sangat besar lalu menyerang BoBoiBoy Daun, menyebabkan dia tercampak ke belakang dan berubah menjadi normal. Dalam keadaan yang terdesak, ketua nyamuk angkasa itu semakin menghampiri BoBoiBoy, lalu Papa Zola mengambil kesempatan itu untuk menepuk-nepuk nyamuk itu sehingga tewas dengan "Tamparan Kebenaran" dan mengakibatkan satu letupan di situ.

Di dalam kapal angkasa, Komander Koko Ci mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli anggota TAPOPS yang telah berjaya melindungi kapal angkasa. Papa Zola turut mengucapkan syabas kepada anak-anak muridnya. Oleh kerana keberanian dan daya pemikiran kreatif Papa Zola juga, dia telah dianugerahkan pangkat kapten dalam pasukan TAPOPS oleh Komander Koko Ci lalu dipasangkan lencana TAPOPS di bajunya. MotoBot turut mengingatkan mereka untuk berterima kasih kepada Fang yang telah membantu mereka menghapuskan namyk-nyamuk itu dan sekaligus tolong menunda kapal angkasa mereka. BoBoiBoy tidak dapat membayangkan apa yang berlaku jika Fang tidak datang untuk membantu, dan sekali Papa Zola memanggilnya "cendawan", Fang geram dan akhirnya menghayunkan kapal angkasa mereka ke kiri dan ke kanan dan membuatkan semua penumpang tidak boleh berdiri dengan stabil.

Perbezaan dengan Versi Komik[]

Watak[]

Trivia[]

  • Episod ini menandakan kemunculan pertama Fang dalam BoBoiBoy Galaxy.
  • Ketika BoBoiBoy Daun sedang mengejar nyamuk-nyamuk angkasa, dia berkata kepada periuk keranya untuk menangkap nyamuk itu seekor demi seekor, yang mana kemungkinan merupakan rujukan kepada slogan kata Pokemon dalam Bahasa Inggeris.
    • Jenis-jenis Power Sphera yang baru dalam BoBoiBoy Galaxy juga merupakan rujukan kepada kepelbagaian Pokemon dalam francais Pokemon.
  • Kulit Nyamuk Amok besar digantikan dari merah menjadi jingga berulang-ulang.
  • Terdapat kesilapan dalam episod ini. Apabila Papa Zola mengendarai kapal angkasa TAPOPS, dia membawa beg yang berisi sos cili dan tomato, namun beg itu menghilang setelah Koko Ci bertanya apa yang dia lakukan di situ.
  • Episod ini awalnya bertajuk "Fang Pelengkap Pasukan". Ia dipendekkan selepas musim pertama diakhirkan.

Galeri[]

Kategori utama: Gambar Fang Penyelamat

Video[]

Advertisement