BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Kapten Kaizo adalah anti-hero dalam siri BoBoiBoy yang membuat penampilan sulungnya dalam Musim 3, Episod 20. Kaizo adalah abang kepada Fang.

Latar Belakang

Kapten Kaizo adalah seorang pemberontak yang sangat terkenal di seluruh galaksi. Sebab kenapa orang-orang Bumi tidak pernah mendengar nama Kaizo adalah kerana teknologi penjelajahan angkasa Bumi masih lagi primitif dan tidak dapat mendengar sebarang khabar berita dari planet lain. Apa yang sedang diberontak dan mengapa alien-alien lain menggeruni Kaizo adalah masih menjadi misteri.

Kapten Kaizo merupakan seorang kapten di dalam sebuah pasukan yang ditubuhkan oleh dia sendiri. Kumpulan itu juga dianggotai oleh Prebet Pang/Fang, seorang Prebet muda dan Leftenan Lahap, seorang Leftenan dalam kumpulan itu.

Dalam Majalah Komik BoBoiBoy Isu #50, monsta backstage menunjukkan biodata Kaizo; Kaizo berumur 20 tahun. Lahir pada 4 November, namun tempat lahirnya masih menjadi misteri. Makanan dan minuman kegemaran Kapten Kaizo ialah sup lobak merah dan teh. Warna kegemaran Kapten Kaizo adalah biru, sementara hobinya pula ialah melakukan latihan simulasi.

Sejarah

Musim 3, Episod 24: Musuh Baru Dan Lama

Dalam Musim 3, Episod 24, Kapten Kaizo tiba di Bumi sebagai watak baru untuk memeriksa perkembangan misi pertama adik lelakinya, Fang di Bumi. Misi adiknya adalah mengesan dan mendapatkan Jam-Jam Kuasa yang hebat (sebenarnya jam yang dikesannya adalah milik BoBoiBoy dan kawan-kawan). Walau bagaimanapun, misi Fang tergendala gara-gara Fang dan BoBoiBoy tidak lagi bermusuhan. Justeru, Kaizo menghukum Fang dengan kuasa manipulasi tenaganya.

Tetapi sebelum itu, Kaizo telah mendedahkan identiti Fang yang sebenarnya; dia merupakan perisik dalam pasukannya dan cuma menggunakan nama "Fang" sebagai nama samaran untuk menjalankan misinya. Nama sebenar adiknya ialah "Prebet Pang". Selain itu, Fang ini sebenarnya tidak berspesiskan manusia, tetapi berspesiskan alien. Tindakan Fang yang menyerang BoBoiBoy secara tiba-tiba telah menyebabkan satu pertarungan epik di antara Fang dan BoBoiBoy. Masing-masing tidak mahu mengalah, sehinggakan pada akhirnya hampir mencederakan satu sama lain tetapi sempat dihentikan oleh Yaya dan Ying yang berpesan bahawa mereka adalah kawan. Mujurlah mereka sempat berhenti daripada menyerang, dan BoBoiBoy sempat berpesan kepada Kaizo bahawa mereka tidak akan bermusuhan kerana mereka adalah kawan.

Musim 3, Episod 25: Antara Kawan Dan Lawan

Dalam Musim 3, Episod 25, akhirnya BoBoiBoy dan kawan-kawan jatuh kalah dan pada masa yang sama Fang terlepas dari hukuman,Lahap hampir-hampir saja ingin menghabiskan mereka dengan kuasa plasma toksiknya, tetapi tiba-tiba Fang sempat mengambil Jam Kuasa mereka dengan kuasa bayangnya (kerana tiada pilihan lain, sebenarnya Fang ingin melindungi kawan-kawannya daripada serangan Kaizo dan Lahap) dan kemudian menyerahkan kepada Kapten Kaizo. Fang juga meminta maaf bersungguh-sungguh kepada kaptennya kerana mengingkari arahannya. Setelah diberi amaran kepada Fang, mereka berlepas ke angkasa dengan kapal angkasa Kaizo.

Semasa di dalam kapal angkasa, Kaizo telah mendesak Fang untuk menyerahkan Jam Kuasanya sekali untuk ditempatkan bersama Jam Kuasa milik BoBoiBoy dan kawan-kawan. Sejurus selepas itu, tiba-tiba kapal angkasa mereka diserang oleh kapal angkasa lain. Setelah dikenal pasti, rupa-rupanya BoBoiBoy menjalinkan hubungan kerjasama sekali lagi dengan Adu Du yang bertujuan untuk membebaskan Fang, sekaligus mengambil semula Jam-Jam Kuasa milik mereka.

Musim 3, Episod 26: Jumpa Lagi BoBoiBoy

Dalam Musim 3, Episod 26, iaitu episod terakhir musim ke-3, BoBoiBoy dan kawan-kawan memecah masuk ke dalam kapal Kaizo dengan pod angkasa yang berasal dari kapal angkasa Adu Du. Kedatangan mereka disambut baik oleh Kaizo dan Lahap. Kaizo mula rasa tertarik akan keazaman BoBoiBoy yang tinggi untuk mengambil semula Jam-Jam Kuasa. Dengan itu, pasukan BoBoiBoy dicabar oleh Kaizo untuk bertarung sekali lagi. Pada masa yang sama, Fang mencuri dengar perbualan mereka dari suatu tempat. Tetapi, akhirnya diketahui oleh Kaizo. Selepas masing-masing berada di Medan Latihan Tempur, BoBoiBoy berganding bahu bersama Fang untuk bertarung dan mengalahkan Kaizo sementara Yaya, Ying dan Gopal berdepan dengan Lahap.

Kaizo dilihatkan begitu yakin semasa pertarungan. Dengan kehebatan dan kepantasan yang Kaizo miliki, dia dapat menandingi kehebatan kuasa BoBoiBoy dan Fang. Akibat terdesak apabila BoBoiBoy dan Fang ditolak oleh Dinding Tenaga dan hampir terjatuh, BoBoiBoy menggunakan sekali lagi kuasa tiga dengan jelmaan BoBoiBoy Tanah, BoBoiBoy Api, dan BoBoiBoy Air. Dengan menggunakan kuasa kombo BoBoiBoy dan Fang, Kaizo dapat dikalahkan dengan teruk, sampai helmet yang dipakainya pun retak.

Tetapi sebelum kekalahan Kaizo, Lahap dikalahkan terlebih dahulu oleh Yaya dan Ying dengan menggunakan idea bernas daripada Gopal; memberikan Lahap sayur-sayur ulam supaya tubuh Lahap bertukar menjadi sayur agar mudah dikalahkan kerana 'jika besi keras, sayur mesti lembik'. Dengan kekalahan itu, Kaizo mengakui bahawa BoBoiBoy dan kawan-kawan memang pengguna yang layak untuk menggunakan kuasa Sfera Kuasa.

Sebelum Kaizo menghantar semula BoBoiBoy dan kawan-kawan ke Bumi, Kaizo terlebih dahulu memberikan dua pilihan kepada adiknya; sama ada dia ingin menyertai pasukan BoBoiBoy ataupun mengikut kaptennya pulang. Ketika di kedai Tok Aba, Ochobot tertanya-tanya adakah Fang benar-benar mengikut kaptennya pulang. Tiba-tiba, Ochobot ditegur oleh Fang yang datang dari belakang. Fang ditanya oleh Ochobot, mengapa dia tidak mengikut kaptennya pulang. Jawab Fang, abangnya mempunyai kekuatan yang cukup dari kuasa tenaganya, dan oleh itu dia menyertai pasukan BoBoiBoy.

Kemahiran dan Kuasa

Kapten Kaizo tidak akan mempunyai sebarang kuasa jika dia tidak mengaktifkan topengnya. Namun, dia mempunyai beberapa kemahiran dalam pertarungan.

  • Kemahiran Berpedang: Kapten Kaizo mempunyai sebilah pedang panjang yang menunjukkan dia mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang berpedang.
  • Ketangkasan: Kapten Kaizo mempunyai naluri yang tinggi apabila dia berlawan. Oleh itu, Kapten Kaizo mampu mengelak dengan pantas ataupun meramal serangan yang akan datang daripada musuhnya.

Selain daripada segala kemahiran yang Kapten Kaizo ada, Kaizo juga adalah pemegang kepada kuasa memanipulasi tenaga. Kuasanya datang daripada helmetnya yang membolehkan dia mengolah tenaga dengan kaedah serangan dan menjana kuasa yang berlipat ganda.

  • Tumbukan Tenaga: Kapten Kaizo mengumpulkan tenaga yang tinggi pada tangannya, lalu menumbuk musuhnya dengan tumbukan yang padu dengan pantas.
    • Tumbukan Tenaga Penuh: Tingkatan kuasa daripada teknik Tumbukan Tenaga yang mengumpulkan tenaga ke tangannya dan melepaskan tenaga tersebut melalui tumbukan ke arah objek dalam kelajuan yang pantas.
  • Gari Tenaga: Kapten Kaizo mengumpulkan kuasanya, lalu memerangkap musuhnya bagi menghalang dia untuk bergerak. Selain menggari musuhnya, Kapten Kaizo juga menggunakan teknik ini sebagai medium untuk menyeksa musuhnya.
  • Tendangan Tenaga: Kapten Kaizo mengumpulkan tenaga pada kakinya, lalu menendang musuhnya dengan sekuat hati.
  • Tolakan Tenaga: Kapten Kaizo membentuk tenaga yang berbentuk hemisfera di hadapannya lalu menolak ke arah musuhnya bagi menjauhkan diri daripada musuhnya.
  • Pedang Tenaga: Merupakan senjata khas Kapten Kaizo yang menggabungkan kuasanya dengan pedangnya yang boleh menghasilkan pedang bercahaya dan menggunakannya bagi menghukum musuhnya. Selain itu, Kapten Kaizo boleh menambahkan kuantiti tenaganya kepada pedangnya bagi menambahkan kekuatan pedangnya.
    • Gerakan Pedang Tenaga: Tingkatan kuasa bagi teknik Pedang Tenaga dengan berpusing bagi membolehkan dirinya untuk mencederakan musuhnya dengan Pedang Tenaga tersebut.
  • Cengkaman Tenaga: Teknik yang hampir sama dengan Gari Tenaga, tetapi digunakan untuk menghalang musuhnya daripada bangkit.
  • Dinding Tenaga: Kapten Kaizo menghasilkan dinding lut sinar yang tidak boleh ditembusi ataupun dipecahkan. Teknik ini membolehkan Kapten Kaizo untuk mencipta halangan daripada diganggu orang lain ataupun memerangkap musuhnya dalam dinding tersebut.

Kelemahan

Kaizo mempunyai satu kelemahan asas dalam meggunakan Kuasa Memanipulasi Tenaga; apabila Kaizo menumpukan sepenuh tenaga pada pedangnya, ia akan menyebabkan teknik yang digunakan sebelumnya terbatal.

Sebagai contoh, dalam Musim 3, Episod 25, setelah Kaizo menumpukan tenaga yang cukup pada pedangnya dan kemudian mengeluarkannya dari tempat sandangan, teknik Gari Tenaga dan Dinding Tenaganya terbatal sepenuhnya. Jadi, demikianlah bahawa semua kuasa Kaizo tertumpu pada pedangnya.

Penampilan Fizikal

CSzM-CQWoAApJeN (2)

Gambar pertama Kapten Kaizo yang dikeluarkan oleh pihak monsta.

Dalam foto konsep Kapten Kaizo pertama yang dikeluarkan oleh pihak Monsta, Kapten Kaizo mempunyai rambut yang berwarna biru gelap, iris matanya berwarna perang dan berkulit cerah. Memakai helmet yang disertai dengan kemasan yang berwarna jingga. Jaket jingga yang dipakainya mempunyai kolar yang tinggi, kemasan lekatan yang berwarna biru terang dan corak garisan yang berwarna biru di bawah lekatan itu tergantung dari bahunya sehingga separa ke lengannya. Jaket yang dipakainya sentiasa terbuka dan juga berbaju biru gelap di dalam. Tali pinggangnya berwarna biru muda dan kepala tali pinggangnya berbentuk heksagon dan berwarna kuning. Memakai sarung tangan yang sama dengan Fang.

Kaizo Concept Art Outfit

Konsep Kapten Kaizo.

Semasa kemunculan rasmi dalam siri BoBoiBoy, pemakaiannya telah berubah secara dramatik dari segi warnanya. Rambutnya yang berpacak ke belakang berubah menjadi ungu gelap yang sama dengan warna rambut adiknya dan iris matanya berubah menjadi kemerahan. Jaket yang dipakainya kini berubah kepada biru gelap dengan kemasan berwarna ungu gelap dari bahagian bahunya sehingga ke lengannya serta terdapat logo pasukannya pada bahu kirinya. Baju yang dipakai disebalik jaketnya juga turut berubah menjadi ungu. Memakai jam emas pada pergelangan tangannya dan topeng kuasanya turut tidak berubah, tetapi kemasannya berubah menjadi biru terang. Kepala tali pinggangnya masih berbentuk heksagon dan berwarna keemasan dan disambung dengan pencangkuk yang berwarna putih (yang digunakan untuk menyandang Pedang Tenaga). Seluar yang dipakainya juga berwarna ungu.

Perwatakan

Kapten Kaizo mempunyai personaliti yang serius. Jika ahli pasukannya mengingkar arahannya, dia tidak akan teragak-agak untuk menghukum mereka dengan kuasanya.

Kemunculan

Musim 3

Trivia

  • Kapten Kaizo mengalahkan Ejo Jo pada Musim 3, Episod 24 dengan pedang berteknologi maju. Dalam bahasa Jepun, "Kaizo (改造 Kaizō)" bermaksud "digodam".
  • Kapten Kaizo adalah abang kandung kepada Fang seperti yang dinyatakan pada Musim 3, Episod 26.
  • Walaupun ia tidak dinyatakan dengan jelas, namun dianggap bahawa watak misteri yang muncul pada penghujung Musim 3, Episod 20 ialah Kapten Kaizo walaupun pakaiannya berbeza dengan pakaian pada kemunculan rasminya.
  • Kapten Kaizo memanggil Fang dengan panggilan “Pang” kerana Fang tidak boleh menyebut namanya sendiri ketika dia masih kecil.
  • Khabar angin pernah mengatakan yang Kapten Kaizo pernah bertempur dengan ketua Pasukan Tengkotak pada suatu ketika dahulu.
  • Teori ada mengatakan bahawa Kapten Kaizo dan pasukannya akan kembali dalam BoBoiBoy Galaxy. Namun, hal ini masih belum dipastikan lagi.

Video

Advertisement