BoBoiBoy Wiki
Advertisement
BoBoiBoy Wiki

Episod terakhir musim kedua BoBoiBoy disiarkan di TV3 pada 24 Mac 2013.

Plot

Adudubangundrpengsan

Adu Du diselamatkan oleh BoBoiBoy.

Adu Du tiba-tiba bangun dari pengsan lama setelah mengigau akan Probe, lalu menyedari kehadiran BoBoiBoy yang telah menyelamatkannya dengan Ochobot, Tok Aba dan Fang di Markas Kotaknya. Sambil diberi minum koko oleh Tok Aba, Adu Du yang masih dalam kesakitan ekoran perang dengan Ejo Jo, dengan rasa gelabah menyoal kehadiran mereka semua di dalam markasnya. Jelas BoBoiBoy, markas itu sahajalah tempat yang selamat untuk berlindung dari ancaman Ejo Jo, tetapi Adu Du cepat membalas bahawa Ejo Jo telah membeli markas ini sekali dan sudah tentu akan mencari mereka semua. Oleh itu, BoBoiBoy menyeru supaya dicarinya jalan untuk mengalahkan Ejo Jo.

Bangkaiprobe

Bangkai Probe yang mustahil untuk dibaik pulih.

Fang meminta tolong daripada Adu Du, tetapi Adu Du memarahi dan menyalahkan mereka kerana membawa Ejo Jo ke Bumi hingga menyebabkan hancurnya Probe, lalu terasa sebak sambil memandang bangkai robot setianya. Ochobot memujuk Adu Du untuk cuba membaiki Probe, tetapi keluh Adu Du, itu sudah tidak mungkin. Lantas makhluk asing hijau itu mengangkat bangkai Probe, bangun dari katil, mengambil kole yang berisi koko dari Tok Aba lalu keluar dari bilik tidurnya dengan iringan kambing S8000.

Fang geram melihat Adu Du beredar begitu sahaja tanpa sebarang tanda mengenang budi setelah diselamatkan oleh BoBoiBoy dan Fang, serta berasa kesal dengan diri dan BoBoiBoy kerana menyelamatkan musuh sendiri. BoBoiBoy mengingatkan bahawa Fang sendiri pernah berpakat dengan Adu Du suatu ketika dahulu, maka timbullah kemarahan Fang dan terpaksalah Ochobot cuba mengelakkan pergaduhan dan mengingatkan mereka untuk mencari jalan untuk mengalahkan Ejo Jo. Untuk itu, Ochobot mencadangkan satu "kuasa akhir" untuk mereka...

Ejojogembira

Ejo Jo dengan jam tangan kuasa Ying.

Sementara itu, Ejo Jo meraikan kejayaannya dalam perang yang lalu di hadapan tawanan-tawannya di dalam kapal angkasa, iaitu Yaya, Ying dan Gopal (yang jam-jam tangan kuasanya dalam genggaman Ejo Jo), serta Papa Zola dan murid-murid kelas 5 Jujur yang lain. Sambil terlihat jam tangannya terjuntai pada jari-jemari musuh barunya, Ying mencemuh Ejo Jo kerana berlagak seolah-olah ini peraduan kumpul dan menang; Ejo Jo membalas dengan merenung kosong ke arah tawanan-tawanan untuk menakutkan mereka.

Papazolarenjat

Papa Zola terkena renjatan dalam kurungan.

Ejo Jo meminta komputernya untuk mencari kedudukan BoBoiBoy, tetapi jawabnya BoBoiBoy gagal dikesan dan berjaya menyembunyikan diri. Gopal mencelah dengan mengatakan bahawa BoBoiBoy akan tampil untuk membelasah Ejo Jo nanti, tetapi Ejo Jo sempat mengingatkan saat BoBoiBoy melarikan diri bagai tikus ketika mereka semua ditawan. Papa Zola berbalas pantun dengan penuh semangat "Dua tiga tikus berlari, mana nak sama si hamster serang, memanglah BoBoiBoy lari, nanti dia datang balik baru dia sorang sampai menang!!!" Pantunnya dipuji oleh murid-muridnya. Dengan itu, Papa Zola mengedarkan kad bisnes kepada murid-muridnya. Ejo Jo mengumpat gelagat Papa Zola dengan berkata bahawa kerana itu planet Bumi tidak maju. Yaya turut sekali menguatkan semangat rakan-rakan sekelas dengan rasa yakin bahawa BoBoiBoy akan selamatkan mereka. Apabila kesemua tawanan sedang naik semangat, tiba-tiba sahaja mereka dikenakan renjatan elektrik yang dikawal oleh Ejo Jo.

Sebaik sahaja itu, Ejo Jo menerima panggilan video dari Adu Du yang memberitahu bahawa BoBoiBoy berada di dalam Markas Kotaknya setelah membuat "kesilapan besar" dalam menyelamatkannya. Papa Zola mengeluh sikap Adu Du yang masih dianggap anak muridnya tetapi membesar menjadi penyangak angkasa. Dengan sukacitanya Ejo Jo mengarahkan komputer untuk bertolak ke Markas Kotak. Maka kapal angkasa Ejo Jo beralih sepantas kilat ke lokasi Markas Kotak, dan Ejo Jo terus menyuruh BoBoiBoy keluar untuk berdepan dengannya. Setelah terdengar suara itu, BoBoiBoy dan Fang keluar menyahutnya. Sambil menunggu BoBoiBoy keluar, Ejo Jo mengarahkan komputer supaya menurunkan Robot Tempur P.E.T.A.I. Penurunan Robot Tempur itu disaksikan oleh para tawanan dengan penuh rasa gelisah.

Golemvspetai

Golem Tanah berdepan dengan Robot P.E.T.A.I.

Sebaik sahaja P.E.T.A.I. turun ke Bumi, tiba-tiba ia disambut oleh Bukaan Tanah yang dibuat oleh BoBoiBoy Gempa untuk menelan robot musuh itu, diikuti dengan Tutupan Tanah dan penjelmaan Golem Tanah yang memijak-mijak tanah yang menanam P.E.T.A.I. Bagaimanapun, cara Golem Tanah menghentam-hentam bumi kelihatan kurang serius dan agak menghampakan rakan-rakan BoBoiBoy yang ditawan, namun ia dapat menggusarkan Ejo Jo. Tiba-tiba sahaja, P.E.T.A.I. berjaya membebaskan diri dari ditanam lalu mematahkan lengan kanan Golem Tanah dan memasang perisai. Apapun, Golem Tanah cepat memulihkan lengannya dan bersemuka dengan P.E.T.A.I.

Di dalam kapal angkasa, Yaya dan Ying tertanya-tanya di mana Fang yang seharusnya menolong BoBoiBoy yang kelihatan melawan musuh seorang diri. Dengan segera Ejo Jo mengarahkan robot tempurnya untuk menghapuskan BoBoiBoy. Maka P.E.T.A.I. melepaskan pancaran laser merah ke arah BoBoiBoy Gempa, tetapi BoBoiBoy Gempa sempat membuat Tanah Pelindung lalu mengarahkan Golem untuk menyerang robot musuh itu dari belakang. Akan tetapi, Golem Tanah tidak dapat menyentuh P.E.T.A.I. yang terlindung oleh perisai.

Geruditaufanvspetai

Gerudi Taufan cuba menembusi perisai musuh.

Oleh itu, BoBoiBoy Gempa menyeru pula BoBoiBoy Taufan dan BoBoiBoy Halilintar untuk bertindak. BoBoiBoy Taufan menyerang dahulu dengan membuat Gerudi Taufan untuk menembusi perisai P.E.T.A.I., tetapi tidak berjaya walaupun dengan kuasa penuh. Tibanya giliran BoBoiBoy Halilintar pula, yang mana dia cuba memotong-motong perisai P.E.T.A.I. dengan Pedang Halilintarnya, serangan itu berjaya kerana kelihatan perisai tersebut retak namun P.E.T.A.I. dapat memulihkan semula retakan itu. Perkarangan Markas Kotak dihujani oleh tembakan laser pemusnah yang diputar-putar, membuat ketiga-tiga BoBoiBoy cepat berlindung.

Hujanhalilintar

Hujan Halilintar.

Dengan rasa geram, BoBoiBoy Halilintar membuat satu helah dengan membuat Hujan Halilintar, yang mana dia melemparkan sebilah Pedang Halilintarnya ke angkasa untuk membentuk curahan hujan berbentuk panahan kilat secara mengejut ke atas P.E.T.A.I. Ejo Jo mengarahkan robotnya untuk menumpukan perisai ke bahagian atas demi perlindungan, maka itu membuat bahagian bawah P.E.T.A.I. terdedah dan memberi peluang kepada BoBoiBoy Gempa untuk menyerangnya dengan Tanah Tinggi Pencengkam untuk mencengkam kaki robot musuh dan melontarkannya ke atas tanah dengan kencang sekali.

Bbbkombo

Gerakan Kombo!

Sementara Tanah Tinggi Pencengkam masih menahan kaki-kaki P.E.T.A.I., ketiga-tiga BoBoiBoy bersama Golem Tanah berkumpul untuk melakukan "Gerakan Kombo". Mula-mula, BoBoiBoy Taufan menyeru Deruan Angin Vertikal untuk mengangkut mereka berempat ke udara dan meluru ke arah P.E.T.A.I. Pada ketika itu, P.E.T.A.I. kembali sedar dan cuba melepaskan diri dari cengkaman, sementara BoBoiBoy Taufan dan BoBoiBoy Halilintar berdiri di atas tangan-tangan Golem Tanah serentak menghunus Gerudi Mega Taufan dan Pedang Mega Halilintar untuk bersedia untuk menumpaskan robot musuh itu.

Bbbkombolwnpetai

Serangan kombo BoBoiBoy mengatasi perisai P.E.T.A.I.

Para tahanan Ejo Jo kagum melihat kombo terbaru BoBoiBoy itu, sementara Ejo Jo cepat mengarahkan robotnya untuk memulihkan perisainya dan melepaskan laser pemusnah ke arah tiga BoBoiBoy yang menyerang. Maka terhasilnya satu pertembungan antara dua pancaran kuasa yang hebat cuba menangkis serangan satu sama lain, hinggalah pihak BoBoiBoy meningkatkan kuasa dan akhirnya memberatkan kuasa mereka ke atas P.E.T.A.I.

Daya teramat kuat yang terhasil dari ledakan ke atas P.E.T.A.I. itu, ketiga-tiga BoBoiBoy terlantun ke belakang sementara seluruh kapal angkasa Ejo Jo bergoyang. Setelah terjatuh, mereka bangun untuk melihat keadaan, begitu juga dengan Ejo Jo dan tawanan-tawanannya dengan penuh kerimasan. Setelah debu ledakan terlerai, akhirnya kelihatan P.E.T.A.I. yang sudah pecah perisainya. Ini membuat BoBoiBoy dan kawan-kawannya yang ditawan itu lega dan gembira.

Tiba-tiba sahaja, perisai P.E.T.A.I. kembali aktif dan menggamamkan BoBoiBoy dan kawan-kawan. Ejo Jo pula berasa lega kerana robotnya masih elok, lalu mengarahkannya untuk menghapuskan musuhnya. Maka P.E.T.A.I. bersiap sedia untuk melepaskan pancaran dan tembakan laser ke arah tiga BoBoiBoy yang sudah letih. Tiba-tiba, langit bertukar gelap dengan ribut petir, membuat tiga BoBoiBoy kembali lega.

Nagabayangvspetai

P.E.T.A.I. bertemu dengan penamat riwayatnya.

Rupa-rupanya Fang turun padang dengan sepenuh kuasa, berdiri di atas binaan yang usang sambil menyeru Naga Bayang untuk berhadapan dengan P.E.T.A.I. Sebaik sahaja naga itu keluar, Fang menyuruhkan Sambaran Naga Bayang, yang mana naga itu cuba menyedut musuh ke dalam mulutnya. P.E.T.A.I. cuba melawan balik dengan tembakan laser, tetapi tembakan-tembakannya tidak meninggalkan sedikit pun kesan. Akhirnya, gigi-gigi Naga Bayang memecahkan perisai P.E.T.A.I., dan robot musuh itu pun dibaham bulat-bulat dalam mulut naga itu, menghasilkan ledakan cahaya hebat yang menandakan kemusnahan muktamad robot tempur milik Ejo Jo.

Dalam kejayaan itu, Fang rebah dan terjatuh dari bangunan, lalu disambut oleh Ochobot. Sambil dibaringkan oleh Ochobot, Fang terkenang akan "kuasa akhir" yang diusulkan oleh Ochobot sebelum bertempur, iaitu kuasa penuh untuk Fang. Dengan itu, Fang merasa dirinya lebih hebat daripada BoBoiBoy. BoBoiBoy kembali bercantum lalu pergi menjenguk keadaan Fang. Ochobot menjelaskan bahawa Fang telah menggunakan seluruh tenaganya. BoBoiBoy memesan Ochobot supaya membiar Fang berehat sementara dia sendiri pergi bersemuka dengan Ejo Jo.

Ochobotsambutfang

Ochobot merehatkan Fang.

Para tawanan Ejo Jo turut mengagumi Naga Bayang Fang, terutama sekali Gopal dan Papa Zola yang menggelar Fang "gila bayang", sekali lagi membuat para muridnya tergamam. Tiba-tiba, Ejo Jo hilang daripada penglihatan mereka. Rupanya, dia bersiap dengan baju perisainya dan turun dari kapal angkasa untuk melawan BoBoiBoy.

Sementara pertarungan antara BoBoiBoy dan Ejo Jo baru bermula, Adu Du berjalan-jalan di sekitar markasnya sambil mengimbas kenangan-kenangan pahit manis bersama Probe. Dia melalui studio MKHIPI yang mana dia bersama Probe merancang untuk menyebarkan fitnah ke atas BoBoiBoy (Musim 2, Episod 9), longgokan buku-buku cerita seram milik Probe (Musim 2, Episod 2), almari yang penuh dengan kole buruk dan sebatang Sudip Elektrik (Musim 1, Episod 24), katil Adu Du sendiri dengan topi tidur Probe (Musim 2, Episod 11), dan akhirnya di bilik simpanan di mana letaknya Robot Pemusnah Mukalakus  yang pernah dibaikinya suatu ketika dahulu. 

Screenshot 4

Adudu di bilik simpanan di mana letaknya Robot Pemusnah Mukalakus yang pernah dibaikinya suatu ketika dahulu.

Advertisement