BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Ini merupakan episod keempat dalam musim kedua siri BoBoiBoy. Episod ini disiarkan di TV3 pada 24 Jun 2012.

Ringkasan[]

Seperti yang dijanjikan seminggu lalu, BoBoiBoy dan kawan-kawan berentap dengan Fang (yang berpakat dengan Adu Du, Probe dan dua robot lain) dalam perlawanan bola sepak lima lawan lima.

Plot[]

Iwan menawarkan diri

Iwan menawarkan diri sebagai ahli pasukan BoBoiBoy.

Dalam persediaan sebelum perlawanan bola sepak lima lawan lima, BoBoiBoy melantik dirinya sebagai penyerang, Gopal sebagai penjaga gol, dan Yaya dan Ying sebagai petahan. Yaya dan Ying tidak tahu bermain, tetapi BoBoiBoy meyakinkan mereka untuk berserah kepada dirinya dan Gopal. Gopal memerli Yaya dan Ying supaya menjadi tiang gol pula, lalu dibalas dengan hukuman ketuk ketampi oleh Yaya kerana menyakitkan hati. Ying mengingatkan bahawa pasukan seharusnya terdiri daripada lima orang, tetapi BoBoiBoy mengeluh betapa sukarnya mencari pemain. Iwan mencelah dalam perbualan antara mereka berempat dan menawarkan diri sebagai pemain kelima. Dengan itu, bolehlah pasukan BoBoiBoy berlatih.

Pada pagi hari perlawanan, di markas bawah tanah Adu Du, Probe membisik-bisikkan strategi menawan perlawanan bola sepak BoBoiBoy kepada majikannya. Dengan besar hatinya Adu Du memuji Probe dan pergi menjalankan rancangan.

Team fang

Fang memperkenalkan barisan pemain pasukannya.

Di Stadium Sekolah Rendah Pulau Rintis, murid-murid beramai-ramai berkumpul untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang dijanjikan minggu lalu. Pasukan BoBoiBoy yang dianggotai oleh Gopal, Yaya, Ying dan Iwan turun padang dengan berpakaian serba merah dengan motif kilat, penuh megah tertanya-tanya Fang di mana. Dalam sekelip mata, Fang muncul seorang diri dengan jersi ungu berjalur merah, sebentar kemudian disusuli oleh ahli-ahli pasukan yang baru ditubuhkannya, iaitu Adu Du dan Probe, maka menaikkan kemarahan pasukan BoBoiBoy.

Fang main bola keranjang dgn bola sepak

Fang menggunakan bola sepak... untuk menunjukkan kemahiran bola keranjang.

Yaya bertanya bagaimana Fang berpakat dengan Adu Du, dan Probe menjelaskan bahawa dia dan Adu Du bertembung dengan Fang yang terkial-kial cuba bermain bola, lalu mengajak Fang untuk berlatih. Dalam penceritaan itu, Fang menunjukkan serba sedikit kehebatan bermain bola, tetapi rupanya bola keranjang, bukan bola sepak. Sungguhpun demikian, mereka bertiga tetap bersepakat untuk menubuhkan pasukan untuk melawan BoBoiBoy.

Gopal memerli pasukan Fang kerana kekurangan dua orang, dan itu juga dibalas dengan tampilnya dua buah robot besar yang bergelar Robolabot (satu kuning, satu biru) ciptaan Adu Du yang melengkapkan pasukan. Walau apapun, pasukan BoBoiBoy tidak gentar sedikit pun dan sedia untuk bermain. Apabila kedua-dua pasukan bertentang muka di tengah padang, Papa Zola sebagai penganjur perlawanan muncul di antara mereka sebagai "Papadil". BoBoiBoy pun bertanya mengapa Papa Zola menjadi pengadil, jawab Papa Zola seperti biasa, menjadi pengadil menjadi cita-citanya sejak tadika lagi, apalagi berazam untuk merembat sepakan penalti ke dalam gawang kejahatan.

Papa zola pengadil

Papa Zola menjadi pengadil.

Setelah mendengar penjelasan Papa Zola, Ying dan Gopal memujuknya supaya memberikan laluan yang mudah kepada mereka untuk menang, tetapi Papa Zola menolak permohonan mereka kerana bola tidak mengenali baik dan jahat, sebaliknya hanya menang dan kalah. Adu Du dan Probe turut cemas melihat adanya pengadil. Sebelum perlawanan bermula, Papa Zola mengumumkan tiga pesanan kepada para pemain: "jangan main kotor", "jangan main guna kuasa" dan "jangan sesekali mempermainkan perasaan seorang lelaki" (ini dipetik dari muka surat yang salah dalam buku notanya).

Setelah semua pemain bersedia, Papa Zola pun 'meniupkan wisel' (sebenarnya menyebut 'prit-prit' dengan mulut walaupun ada wisel dalam tangan) untuk memulakan perlawanan! Setelah tertanya oleh seorang penonton (juruhebah lumba lari episod lepas) mengapa tidak menggunakan wisel, Papa Zola melayangkan kad merah ke arahnya kerana mempertikai keputusan pengadil lalu mengusirnya keluar.

Fang menampan bola bbb

Fang menampan rembatan BoBoiBoy.

Di awal permainan, bola berada dalam penguasaan pasukan BoBoiBoy. Ying mula-mula kelihatan menggelecek bola, kemudian menghantar bola kepada BoBoiBoy atas suruhannya. Dengan senangnya BoBoiBoy mengelakkan bola daripada dirampas oleh Adu Du dan Probe dan Robolabot, tetapi apabila sampai di depan gawang lawan, BoBoiBoy mencuba rembatan jauh ke arah sudut atas kanan gawang tetapi disambut oleh Fang yang menjaga gol.

Giliran pasukan Fang pula menguasai bola, dan Robolabot kuning memacu bola ke arah gawang Gopal. Gopal mengarahkan Iwan dan Yaya untuk menghalang Robolabot kuning, dan mereka berdua berbuat-buat galah panjang di depan robot itu untuk melengahkannya. BoBoiBoy rebah dalam kekecewaan melihat gelagat mereka berdua. Adu Du segera menyuruh Robolabot kuning menendang, tetapi rembatan hebatnya dari udara sempat ditampan oleh Gopal.

Perlawanan bertambah sengit berkat kehebatan kedua-dua pasukan, hinggakan tiada gol dapat dijaringkan dalam separuh masa pertama kerana bola acapkali terkena tiang atau ditampan oleh penjaga gawang. Akhirnya, pada permulaan separuh masa kedua, berkat daripada bantuan Iwan yang meluncur untuk merampas bola dari Adu Du, BoBoiBoy berjaya menjaringkan gol dengan rembatan yang berapi, sekaligus membuat Adu Du makin tertekan.

Sandiwara pura2 adudu

Adu Du bersandiwara semata-mata untuk mengenakan BoBoiBoy.

Selepas jaringan itu, Adu Du menggelecek bola ke arah gawang Gopal, tetapi dihalang oleh BoBoiBoy dengan menendang bola dengan lembut kepada tubuh Adu Du. Adu Du menggunakan peluang ini untuk berpura-pura cedera, apatah lagi bersandiwara bersama Probe dengan niat untuk mengenakan penalti terhadap BoBoiBoy. Akan tetapi, BoBoiBoy memecah temberang pasukan lawan dengan mengumpan Adu Du dengan peluang terbuka untuk menjaringkan bola ke dalam gawang kosong, maka setelah 'menyempurnakan' kesempatan itu, Adu Du pun dilayangkan kad kuning oleh Papa Zola.

Tendangan basikal tok aba

Tendangan Basikal Tua oleh Tok Aba.

Permainan bersambung kembali, tetapi kekasaran pasangan Robolabot menyebabkan Ying cedera dan tidak dapat bermain lagi, tetapi BoBoiBoy sempat memanggil Tok Aba sebagai pemain simpanan untuk mengambil tempat Ying. Walaupun lanjut usia, namun dia masih dapat berlari selaju cucunya. BoBoiBoy dan Tok Aba saling menghantar bola untuk mengelirukan benteng lawan, tetapi apabila sudah tiba masanya untuk menjaringkan gol, BoBoiBoy melompat ke udara untuk melakukan "Tendangan Basikal", tetapi kakinya tersasur dari bola. Tok Aba sempat menyelamatkan keadaan dengan "Tendangan Basikal Tua" untuk merembatkan bola ke dalam gawang Fang, tetapi pada masa yang sama terpatah tulang belakangnya. Kesakitannya diburukkan lagi oleh BoBoiBoy, Iwan dan Gopal yang bertimbun-timbun di atasnya.

Papadil rebah

Papa Zola rebah terkena sepakan kencang Yaya.

Setelah Tok Aba terpaksa disorong keluar oleh Ochobot, pasukan BoBoiBoy hanya tinggal empat orang. Walaupun begitu, BoBoiBoy tetap yakin kerana sudah mendahului 2–0 dan masa perlawanan semakin suntuk. Adu Du semakin tertekan, tetapi Probe mencari jalan dan menipu Yaya dengan mengatakan bola pancit. Ini membuatkan Yaya diberi amaran oleh Papa Zola kerana memegang bola. Ini menaikkan darah Yaya sehingga dia terguna kuasa super untuk mengajar Probe, tetapi bola yang ditendangnya dengan Tendangan Super Kuat terkena Papa Zola hingga rebah.

Oleh sebab Papa Zola pengsan, perlawanan bertukar menjadi kucar-kacir. Setelah meletakkan kad merah dalam tangan kiri Papa Zola untuk menyuruh Yaya keluar padang, Adu Du mengambil kesempatan ini untuk menguasai permainan dengan bermain kotor sepanjang saki-baki masa perlawanan, apalagi dengan kelebihan bilangan pemain mereka ke atas pasukan BoBoiBoy yang tinggal tiga orang. Adu Du menghidupkan kasut jetnya untuk menendang bola dengan sekuat-kuatnya ke arah gawang Gopal, tetapi cubaan awalnya bukan setakat terkena tiang, bahkan juga menjatuhkan gawang.

Bola jadi gula2 kapas

Gopal menukarkan bola kepada halwa rambut.

Probe mendirikan semula gawang itu dan menyuruh Adu Du mencuba lagi. Kali ini, rembatan Adu Du menuju tepat ke arah Gopal, tetapi sempat ditampan dengan Gopal yang cemas menyeru Tukaran Gula Kapas untuk menukarkan bola itu kepada halwa rambut. Akan tetapi, apabila Gopal leka mengejek Adu Du, angin meniup halwa yang bulat itu ke dalam garisan gol, maka Adu Du berjaya mendapat mata. Gopal pun meminta maaf kepada BoBoiBoy yang monyok sambil memakan sedikit halwa itu.

Permainan bersambung dengan bola baru. BoBoiBoy sudah berasa tertekan dan terpaksa bermain kasar dengan menendang bola kepada muka Adu Du untuk menguasai semula perlawanan. Apabila hampir di gawang lawan, BoBoiBoy memintas Fang dan mencuba Tendangan Kilat, tetapi Adu Du sempat menyuruh Probe untuk bergabung dengan kedua-dua Robolabot menjadi satu. Maka ketiga-tiga jaguh besi itu bercantum untuk menjadi "Robolabolabolabolabot Super King" untuk menampan rembatan BoBoiBoy dalam sekelip mata.

Robolabolabolabolabot

Probe bercantum dengan Robot Labot untuk menjadi Super King.

Dalam bentuk barunya yang agak panjang namanya untuk disebut, Probe dengan mudahnya menjaringkan gol ke dalam gawang Gopal. Pada saat ini yang mana markahnya seri 2-2 dan masa tinggal tidak lebih seminit, Gopal risau bahawa perlawanan mungkin terpaksa dilanjutkan kepada tendangan penalti. Walau dicemuh oleh Fang sepasukan, BoBoiBoy tetap tidak gentar dan menyerahkan bola kepada Iwan. Bagaimanapun, Super King sempat merampas bola dan menendangnya dengan kencang ke arah Gopal. Setelah disuruh berjaga-jaga oleh BoBoiBoy, Gopal sekali lagi berasa cemas dan sempat menampan balik bola dengan membentuk sekeping biskut berbentuk jantung yang gergasi.

Harimau bayang tahan bola

Harimau Bayang menahan bola.

Bola pun dihantar balik kepada BoBoiBoy. Dalam merebut-rebut bola dengan Super King, BoBoiBoy mengambil kesempatan untuk berpecah kepada tiga. BoBoiBoy Angin menyaluti bola dengan Angin Kencang, kemudian menghantarnya kepada BoBoiBoy Tanah lalu menendang bola ke dalam tanah dengan teknik Tendangan Tanah, dan akhirnya BoBoiBoy Petir bertukar menjadi BoBoiBoy Halilintar untuk melakukan rembatan yang terkencang sekali dengan Tendangan Halilintar ke arah gawang Fang. Akan tetapi, Fang menghalang jaringan BoBoiBoy dengan mengeluarkan Harimau Bayang untuk menampan bola.

Masa tinggal beberapa saat lagi, dan Adu Du berjoget melihat harapan pasukan BoBoiBoy makin ranap. Akan tetapi, bola masih berada dalam udara lalu jatuh ke atas kepala Iwan. Sementara Fang leka meraikan kejayaan yang nyaris digapainya, Iwan tertanduk bola itu ke belakang dan bola itu pun bergelecek perlahan-lahan ke dalam garisan gol Fang. Melihat bola itu melintasi garisan gol Fang, BoBoiBoy dan Gopal berubah dari muram menjadi riang lalu pergi meraikan Iwan, sementara Fang meraung "Tidak!" ke angkasa dan Adu Du sekali lagi kecewa.

Iwan tanduk bola

Tanpa disedari oleh Fang, Iwan melakukan detik manis buat pasukan BoBoiBoy.

Masa perlawanan sudah pun tamat, dan Papa Zola akhirnya bangun untuk menamatkan perlawanan. Giliran BoBoiBoy, Gopal dan Iwan pula untuk berjoget meraikan kemenangan mereka di hadapan Adu Du yang geram. Dengan itu, Fang menerima kemenangan BoBoiBoy dan memutuskan pakatannya dengan Adu Du dan Probe yang dianggapnya sebagai "lemah". Papa Zola sempat bertanya siapa yang merosakkan padang dan gawang gol iaitu harta sekolah? Kesudahannya, Fang, Adu Du dan Robolabot dihukum berdiri di luar pejabat guru disiplin sambil memegang baldi di kedua-dua belah tangan.

Watak[]

Trivia[]

  • Ini episod ketiga di mana Papa Zola menceritakan tentang cita-citanya.
  • Tajuk buku yang Fang membaca ialah "Bola Itu Bulat".
  • Ia tidak diketahui bagaimana BoBoiBoy memanggil Tok Aba ke lapangan.
  • Dalam episod ini, selain dam haji, Tok Aba juga mahir dalam bola sepak.
  • Ini merupakan kali keempat dimana Yaya dikelilingi oleh api kerana kemarahannya. Yang pertama ialah Musim 1, Episod 6, kedua ialah Musim 1, Episod 8 dan ketiga ialah Musim 1, Episod 13.
  • Ini merupakan kali pertama BoBoiBoy memanggil Fang "Ali Kassim", dan Ying memanggilnya "Apang".
  • Pasukan BoBoiBoy menang terhadap Pasukan Fang dengan skor 3-2.
  • Transformasi Probe muncul untuk kali keempat. Yang pertama ialah Musim 1, Episod 1, kedua ialah Musim 1, Episod 5, dan ketiga ialah Musim 1, Episod 7.
  • Ini kali kedua Papa Zola pengsan. Yang pertama ialah Musim 1, Episod 9.
  • Ini kali kedua Gopal menukarkan sesuatu menjadi biskut Yaya, tetapi tidak diketahui bagaimana dia mengubahnya sejak Gopal tidak menyentuh apa-apa sebelum mengubahnya. Yang pertama ialah Musim 1, Episod 2.
  • Mungkin Papadil malas menggunakan peluitnya, jadi dia berkata "Prit!" sebaliknya.
  • Ini merupakan episod pertama dari musim 2 dimana Yaya mengembangkan kuasanya.
  • Error la bijak
    Apabila Papadil menjelaskan peraturan pertama sebelum permainan, rambut depan BoBoiBoy menunjuk ke kiri dan bukannya tepat.
  • Dalam kehidupan sebenar, mustahil bagi Robolabolabolabolabot Super King Probe untuk menyekat bola sepak dari memukul jawatan gol kerana mengambil masa 11 saat untuk Probe untuk berubah menjadi bentuk barunya.
  • Apabila pos gol memadamkan api, api tidak menyebar ke seluruh jaring gol, sebaliknya, ia tetap menjadi ukuran bola.
  • Di Netflix, episod ini diberi tajuk "Lawan Bola!".

Galeri[]

Kategori utama: Gambar Musim 2, Episod 4

Video[]

Advertisement