BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Pertarungan Di Bulan merupakan episod kesembilan dalam musim ketiga siri BoBoiBoy. Ia disiarkan di TV3 pada 10 Disember 2014.

Ringkasan[]

Lima Panglima Scammer membangun MegaBot ScamBot dan bertarung dengan SampahBot milik Adu Du dibuat dari Kapal Sampah A80.

Plot[]

0309 wartawan di luar

Tolong kami. Orang tak boleh bernafas...

Yaya membawa BoBoiBoy, Ying, Gopal, Fang, Adu Du dan Probe yang berada di dalam kapal angkasa ke bulan kerana ianya tempat yang paling selamat untuk menjauhkan nyawa yang tidak bersalah daripada serangan Lima Panglima Scammer, tetapi jelas sekali ini akan menyukarkan mereka untuk melawan musuh. Tiba-tiba, kedengaran ketukan di pintu luar kapal angkasa. Rupa-rupanya wartawan Ravi J. Jambul dan seorang jurukamera telah berpaut di luar kapal dari tadi! Maka Adu Du menyuruh Probe menyelamatkan mereka. Probe ke luar kapal sebagai Mega Probe tetapi dia tersalah faham arahan Adu Du dan membawa mereka pergi jauh di lapangan bulan. Maka Adu Du dengan marah menyuruh Probe membawa mereka masuk kerana mereka tidak boleh bernafas.

0309 terselamat

Selamat...

Setelah dibawa masuk, Ravi J. Jambul dengan jurukameranya menyambung laporan. Ying menanya dia macam manakah mereka boleh mengekori wira-wira muda itu. Jelas Ravi, dia berhajat untuk meliputi perkembangan BoBoiBoy dan kawan-kawan dalam usaha melawan musuh, maka dia dengan jurukamera mengekori mereka ke kapal angkasa. Namun tidak sempat mereka memasuki ke dalam kapal, pintu ditutup dan mereka pun tersepit di tengah-tengah pintu sepanjang perjalanan dari Bumi sehinggalah ke bulan.

0309 dedikasi gopal

Maaf, saya balik lewat malam ni. Kerja rumah pun tak akan sempat siap.

Walau bagaimanapun, mereka masih dapat melakukan siaran langsung walaupun berada jauh di permukaan bulan. Maka Gopal mengambil kesempatan untuk menujukan ucapan khas kepada ibu bapanya yang berada di Bumi bahawa dia mungkin akan pulang lewat. Pakcik Kumar yang sedang sebak menonton berpesan kepada anaknya tidak mengapa demi keselamatan Bumi. Gopal turut melanjutkan dedikasi kepada Papa Zola bahawa dia tidak akan sempat menyiapkan kerja rumah. Tetapi Papa Zola yang turut menonton siaran itu geram mengherdik alasan yang dibuat oleh anak muridnya itu. Akhirnya dedikasi Gopal dipatahkan oleh Ravi yang merampas balik mikrofon untuk menyambung liputan BoBoiBoy.

0309 serangan peluru berpandu bersepadu

Serangan Peluru Berpandu Bersepadu!

Tidak sempat Ravi mula menemubual BoBoiBoy, kapal angkasa Adu Du ditemui dan ditembak oleh kapal-kapal Lima Panglima Scammer. Liputan berita Ravi terpaksa berhenti seketika untuk iklan. BoBoiBoy menanya Adu Du apakah yang kapal angkasanya boleh lakukan untuk berlawan dengan musuh mereka. Jawab Adu Du, kapal angkasanya pada asalnya adalah kapal pengangkut sampah dan tidak mempunyai senjata langsung. Pada masa yang sama, Tom mengarahkan empat saudaranya supaya melancarkan Serangan Peluru Berpandu Bersepadu dan kapal angkasa Adu Du dihujani dengan bedilan peluru yang bertalu-talu.

0309 kasihanlah mereka

Kasihanlah mereka, abang long...

Iklan yang ditayangkan di Malaysia membuatkan Papa Zola merungut kerana gelisah akan keselamatan anak-anak muridnya yang sedang berjuang di bulan. Akhirnya siaran langsung bersambung dan Ravi melaporkan bahawa kapal angkasa sudah tersembam di atas permukaan Bulan. Sementara kapal-kapal Lima Panglima Scammer mengepung kapal Adu Du, Bago Go melakukan cubaan terdesak untuk memujuk Tom supaya mengasihani musuh mereka yang merupakan budak-budak dan robot comel. Tom menyanggah pujukan adiknya itu lalu menyuruh semua adik-adik untuk menggabungkan kapal mereka menjadi MegaBot ScamBot. Keempat-empat adik patuh, termasuklah Bago Go dengan rasa berat hati dan serba salah.

0309 reaktor manusia

BoBoiBoy menjadi reaktor manusia.

Percantuman itu sungguh menggerunkan anak-anak kapal Adu Du, lebih-lebih lagi empunya kapal itu sendiri. Dalam saat kecemasan ini BoBoiBoy dan kawan-kawan memujuk Adu Du supaya dia mencari akal untuk mengatasi musuh. Adu Du memberikan sedikit sinar harapan dengan berkata bahawa kapal angkasanya sebenarnya boleh ditukarkan menjadi bentuk robot, tetapi hanya robot pengangkut sampah. Tetapi masih mengeluh kerana harapan bentuk robotnya amat tipis kemungkinannya untuk mengalahkan MegaBot ScamBot. Lagipun, mereka tidak mempunyai tenaga elektrik maksima yang cukup untuk bertukar.

0309 megabot scambot

MegaBot ScamBot.

Oleh itu, BoBoiBoy bertukar menjadi BoBoiBoy Halilintar lalu menawarkan dirinya untuk membantu. Adu Du bersemangat semula dan menyuruh BoBoiBoy untuk pergi ke kor reaktor untuk penyaluran tenaga. Pada masa yang sama, MegaBot ScamBot sudah siap bercantum dan melakukan salvo pertama. Tetapi Adu Du menyeru musuh supaya berhenti seketika dan menyaksikan pertukaran kapal angkasanya kepada robot. Namun begitu, pertukarannya begitu lambat sekali. Ujar Bago Go, kapal angkasa Adu Du merupakan kapal angkasa model lama, jadi pertukaran kepada robot menelan masa yang agak lama.

0309 sampahbot

SampahBot harapan kita.

Tom pun tidak sabar dengan kerenah Adu Du dan menyambung menembak. Tetapi Adu Du dan Probe merayu supaya menunggu robot habis bertukar. Bago Go turut memujuk Tom supaya bersabar. Maka Lima Panglima Scammer setuju untuk menunggu. Bagaimanapun, proses pertukaran menjadi robot memang lambat, sampaikan menelan masa lima jam, hingga pasukan musuh pun tertidur.

0309 serangan pertama sampahbot

Umpama Daud melawan Jalut.

Akhirnya setelah lama bertukar, robot SampahBot menjadi kenyataan, dan musuh akhirnya bangun dari tidur. Ravi teruja dengan perkembangan ini dan meminta Probe untuk merakamkan pertarungan dari luar. SampahBot dikawal oleh Adu Du, BoBoiBoy, Yaya, Ying, Gopal dan Fang yang duduk dalam satu kokpit. Adu Du sebagai komander robot mengorak langkah pertama dengan mengarahkan Tumbukan SampahBot Padu kepada Yaya dan Ying sebagai pengemudi utama robot. Namun begitu, tumbukan itu sungguh lembab sehinggakan Papa Zola yang menonton di Bumi tersalah anggap bahawa siaran bergerak perlahan.

Sungguh mudah untuk Panglima Scammer memperlekehkan lawan, hinggakan ia menyerang balas dengan Tumbukan Uppercut yang kencang sehingga SampahBot melayang ke angkasa tanpa turun kembali disebabkan tiada teknologi graviti. Gopal melaporkan kerosakan di bahagian lubuk hati. Kemudian, SampahBot cuba turun ke bulan dengan "berenang" di angkasa. Sementara itu, Tom mengarahkan konco-konconya untuk menggunakan Tembakan XYZ3000 dengan memancarkan laser kuat ke angkasa untuk menghalang perjalanan pulang SampahBot ke bulan. Gopal melaporkan kerosakan di bahagian ketiak dan apendiks.

0309 tepis

Kebangkitan underdog.

BoBoiBoy meminta Yaya untuk menyalurkan tenaga gravitinya kepada SampahBot untuk mengembalikan kestabilan. Yaya tidak begitu yakin kerana robot itu terlalu besar, tetapi Adu Du mendesaknya untuk mencuba. Maka Yaya menggunakan kuasa gravitinya untuk mengelakkan robot melayang dan mendarat di bulan dengan selamat. Sebaik sahaja mendarat, MegaBot ScamBot melakukan kerajangan jarak jauh yang kencang terhadap SampahBot, tetapi ia sempat ditepis dengan sama kuat oleh Ying yang menggunakan kelajuan masa.

Nampaknya SampahBot semakin lama semakin kuat bertarung, menyerang musuh dengan Tendangan Gunting Dalam Lipatan yang menjatuhkan MegaBot ScamBot dengan pantas. Kemudian, SampahBot melakukan Tendangan Padu Sampah, tetapi MegaBot ScamBot sempat mengelak. Maka pertarungan berlarutan dengan berbalas tumbukan, tendangan dan tembakan oleh kedua-dua pihak yang kelihatan setanding dengan satu sama lain, dengan SampahBot lebih menguasai perlawanan. Kehebatan SampahBot terus dilaporkan oleh Ravi, menyuntik semangat kepada penduduk Bumi.

0309 Tongkat teknoajaib

Tongkat Teknojaib, muncullah!

Tom pun bertambah geram dan mengarahkan konco-konconya untuk mengeluarkan Tongkat Teknojaib dan kemudian melakukan Gerakan Bertongkat. Kelihatan Tongkat Teknojaib memberikan kelebihan hebat kepada MegaBot ScamBot dengan pukulan bertubi-tubi yang menyebabkan kerosakan ketara dan menjatuhkan SampahBot. Setelah SampahBot kecundang, anak-anak kapal pun rebah tersungkur dari kerusi masing-masing, kecuali BoBoiBoy yang bangun dalam keadaan geram dan menyalurkan tenaga halilintarnya kepada robot.

0309 cakaran halilintar

Cakaran Halilintar!

Apabila MegaBot ScamBot cuba membantai semula SampahBot, ia sekali lagi ditangkis oleh wira utama dengan Pencakar Sampah Halilintar. Kemudian, anak-anak kapal lain bangkit semula lalu membalas serangan dengan Cakaran Halilintar yang bertalu-talu hingga menyebabkan robot musuh dan anak-anak kapalnya direnjat elektrik. Tom mengarahkan supaya MegaBot ScamBot diterbangkan ke angkasa, kemudian melancarkan peluru-peluru ke atas SampahBot di bulan. Maka Probe cemas lalu melepaskan sedas tembakan laser ke arah MegaBot ScamBot untuk mengalihkan perhatian, kemudian meminta supaya tidak ditembak atas alasan menjadi wartawan yang tidak boleh dicederakan ketika berperang.

0309 sampahbot wing x

Menyemarakkan harapan.

Apapun, MegaBot ScamBot bersambung menghujani musuh dengan peluru, menyebabkan kerosakan SampahBot berlanjutan. Gopal melaporkan kerosakan di tulang belikat, buah pinggang dan pundi kencing. Ravi merayu kepada BoBoiBoy supaya melakukan sesuatu. BoBoiBoy Gempa menyedari akan cahaya matahari kian muncul dari sebalik Bumi, terus mendapat idea dan memanggil Fang.

MegaBot ScamBot terus menghujankan peluru ke atas tempat SampahBot tanpa menyedari apa yang berlaku seterusnya, hinggalah ia dikejutkan dengan 'versi baru', iaitu "SampahBot Wing X" yang diberikan sayap dengan kuasa bayang Fang. Masih berbekalkan Cakaran Halilintar, SampahBot yang diperbaharui itu melakukan banyak kerosakan ke atas robot musuh dengan sekali cakaran, hinggakan MegaBot ScamBot nampaknya jatuh dan hampir berkecai.

0309 meriam kodok bawah tempurung

Pemusnah harapan?

'Kejayaan' SampahBot nampaknya merangsang kegembiraan penduduk Bumi yang menyaksikan pertarungan itu melalui TV. Akan tetapi MegaBot ScamBot masih belum kalah, malah membentuk Tembakan Meriam Kodok Bawah Tempurung dengan lengan-lengan dan melepaskan tembakan berupa pancaran warna-warni pelangi yang cukup kencang untuk menjatuhkan SampahBot dari angkasa ke permukaan bulan lalu rosak teruk dengan hanya sebatang jari yang masih elok.

Ketika MegaBot ScamBot hendak menghabiskan musuh, nampaknya SampahBot di ambang menjadi bangkai masih bergerak-gerak sedikit, mengangkat jarinya dan kelihatan Gopal menggunakan Tukaran Sejari yang terdaya untuk melepaskan tembakan berulang-ulang. Namun tidak sedas pun yang terkena robot musuh. Belum sempat MegaBot ScamBot mengenakan pemijak leper untuk menamatkan riwayat musuh, pemandu-pemandunya teralih perhatian oleh gemerlapan dari belakang. Maka Lima Panglima Scammer menolehkan robot mereka ke belakang lalu khusyuk melihat barang-barang kemas di hadapan mata sendiri. Maka kelima-lima ahli Panglima Scammer naik girang dan keluar dengan sut angkasa untuk memuaskan semangat ketamakan mereka dengan meraikan 'rezeki murah' baru mereka.

0309 alien yang tamak

Makhluk-makhluk asing yang tamak sekali.

Ini adalah berkat daripada kebijaksanaan akal BoBoiBoy yang terdengar hebahan Ravi yang menyebut "alien yang tamak", lantas memanfaatkan sebatang jari yang masih elok itu dengan menyuruh Gopal menggunakan kuasanya melalui jari itu dan menyasar batu-batan di belakang MegaBot ScamBot untuk ditukarkan menjadi emas. Sambil mereka leka, anak-anak kapal SampahBot mengambil kesempatan untuk merampas MegaBot ScamBot dan memijak musuh mereka itu sehingga lenyek.

Maka tamatlah pertarungan epik yang memenangkan BoBoiBoy dan kawan-kawan, tetapi mereka tidak boleh menyambut kemenangan tanpa memikirkan jalan untuk pulang ke Bumi kerana kedua-dua robot telah pun rosak.

Watak[]

Trivia[]

  • Adu Du memberitahu bahawa kapal angkasanya, Kapal Sampah A80 tidak mempunyai sebarang senjata walaupun dalam musim pertama ia dilihat melepaskan pelbagai jenis tembakan dan peluru. Hal ini mungkin kerana senjata-senjata dalam kapal angkasa ini telah dinyahaktifkan semenjak ia dikategorikan sebagai kapal angkasa antik dalam Musim 2, Episod 1.
  • Episod ini dan Musim 2, Episod 3 merupakan satu-satunya soundtrack yang dimuat naik ke YouTube.
  • Pihak Monsta memuat naik episod ini di YouTube dengan meletakkan tajuk "ScamBot vs SampahBot", walaupun tajuk asal episod ini ialah "Pertarungan Di Bulan".
  • Menurut surat peminat BoBoiBoy, terdapat angkasawan yang menyedari keberadaan BoBoiBoy dan kawan-kawannya di bulan dan merekalah yang membantu membawa wira-wira itu pulang ke Bumi.
    • Walau bagaimanapun, terdapat juga kenyataan yang mengatakan bahawa mereka menggunakan pod kecemasan dari kapal angkasa Adu Du untuk pulang semula ke Bumi.
  • Pertarungan di bulan dalam episod ini telah dipaparkan dalam surat khabar di bilik BoBoiBoy yang boleh dilihat dalam BoBoiBoy: The Movie.

Galeri[]

Kategori utama: Gambar Pertarungan Di Bulan‏‎

Video[]

Advertisement