BoBoiBoy Wiki
Register
Advertisement
BoBoiBoy Wiki


Probe ialah sebuah robot suruhan Adu Du yang menjalankan semua misi yang diberikan oleh Adu Du. Dia sebenarnya adalah robot versi prototaip yang gagal yang menerangkan kecerdasan rendahnya yang menyebabkan sering berlakunya kegagalan. Probe sangat setia kepada Adu Du tetapi selalu mudah berasa kagum dengan kehebatan kuasa BoBoiBoy. Dia mempunyai pelbagai senjata yang terdapat dalam badannya.

Penerangan[]

"Probe adalah robot hamba Adu Du yang menjalankan semua misi tanah Adu Du. Dia sebenarnya versi prototaip yang menerangkan kecerdasan rendahnya menyebabkan mereka kerap kegagalan.

Dia sangat setia kepada Adu Du tetapi sering mudah terkesan oleh gerakan super hebat BoBoiBoy. Dia mempunyai pelbagai senjata yang terdapat dalam anggota badannya.
"
— Penerangan laman web rasmi BoBoiBoy Galaxy

"Probe merupakan robot milik Adu Du yang setia, dan mempunyai kebolehan untuk bertukar kepada mod yang berlainan ketika bertempur. Probe sentiasa disenangi dan juga lurus, tetapi kadang-kala dia boleh menjadi cekap dan peka. Probe mempunyai ciri-ciri yang mirip dengan manusia seperti gemar menonton TV, membaca dan gemar mengenakan kostum."
— Penerangan laman web rasmi BoBoiBoy Movie 2

"Robot milik Adu Du yang setia. Probe mempunyai ciri-ciri yang mirip dengan manusia seperti gemar menonton TV, membaca dan gemar mengenakan kostum.

Probe sentiasa disenangi dan juga lurus, tetapi kadang-kala dia boleh menjadi cekap dan peka. Dia mempunyai kebolehan untuk bertukar kepada mod yang berlainan ketika bertempur.
"
— Penerangan dalam Segmen Khas - Jom Kenali Superheroes Anda!

Sejarah[]

Sejarah awal[]

Pada tahun 124XD, Probe merupakan robot prototaip versi terawal yang dicipta dan telah siap dipasang oleh saintis Ata Ta Tiga di Makmal Prototaip. Semua prosesnya berjalan lancar, namun salah seorang saintis itu telah terlanggar cawan yang berisi air yang menyebabkannya tertumpah ke dalam kepala Probe, mengakibatkan terdapat sedikit kerosakan pada sistemnya. Disebabkan oleh itu, Probe diiktiraf gagal dan telah dimusnahkan dan dicampakkan ke kawasan buangan. Adu Du yang sedang mengutip di kawasan berdekatan telah terdengar bunyi letupan itu dan suara Probe. Adu Du kemudian berusaha memperbaikinya dan sejak dari hari itu, mereka berdua tidak dapat dipisahkan.

BoBoiBoy[]

Ketibaan di Planet Bumi[]

Probe tiba di Bumi bersama Adu Du dan Komputer sebaik sahaja bosnya itu mendapat tahu tentang sumber tenaga koko yang terdapat di planet itu dan membuat rancangan untuk merampas kesemua serbuk koko dengan menggunakan Power Sphera. Apabila sfera kuasa itu jatuh ke tangan BoBoiBoy dan memberikan kuasa kepadanya, Adu Du dan Probe telah berkali-kali membina rancangan demi rancangan untuk merampas koko dan menewaskan BoBoiBoy dan kawan-kawannya yang selalu menghalang mereka. Dengan bantuan Probe, Adu Du mencuba akal-akal baharu sehingga menyebabkan BoBoiBoy secara tidak langsung berupaya untuk meningkatkan kuasa-kuasa elemennya.

Komputer mencadangkan kepada Adu Du untuk menghubungi penjual senjata haram Bago Go untuk mendapatkan senjata-senjata pemusnah terhebat sebelum Probe akhirnya menjual kapal angkasa Adu Du dan memperoleh Robot Pemusnah Mukalakus secara percuma. Maka, Adu Du memulakan rancangan untuk menculik dan menggunakan tenaga daripada Ochobot dalam menghidupkan Mukalakus yang lengkap bersenjata untuk menyerang BoBoiBoy dan kawan-kawannya sehingga pada satu titik BoBoiBoy memperoleh kuasa baharu akibat dari tindakan Adu Du sendiri. Apabila Mukalakus mengalami kerosakan yang teruk yang menjurus kekalahan Adu Du setelah BoBoiBoy mengambil alih arus pertarungan, Probe segera menyelamatkan Adu Du dan melarikan diri ke tempat yang selamat.

Pertemuan dengan Fang[]

Dalam rancangan untuk menculik Ochobot dan mendapatkan kuasanya semasa ketiadaan BoBoiBoy, Adu Du bersama Probe telah menyusun perjumpaan Fang dengannya dalam keadaan berpura-pura memesan koko di warung Tok Aba sebelum menyampaikan pesanan yang direka kepadanya. Ochobot yang menyangka ia merupakan pesanan daripada BoBoiBoy telah pergi ke Markas Kotak sambil ditemani oleh Fang. Setibanya mereka di sana, Adu Du dan Probe telah mengurung Ochobot dan dibawa masuk ke dalam markas. Apabila Adu Du cuba memaksanya untuk memberinya kuasa, Ochobot berjaya melepaskan dan melarikan diri daripada mereka sehingga ke Lorong Pak Senin Koboi sebelum dia diselamatkan oleh Fang dengan bersembunyi di dalam sebuah tong sampah. Ketika mereka cuba mengambil peluang itu untuk melarikan diri, mereka telah ditemui oleh Adu Du dan Probe. Maka Ochobot memberikan kuasa bayang kepada Fang untuk menghalang mereka dari mendekatinya, lantas Naga Bayang yang dijelmakannya mula menyerang Adu Du dan Probe dari berbagai arah sebelum akhirnya menyerang mereka habis-habisan. Naga Bayang terus mengganas di kawasan perumahan sekitar situ setelah itu sehingga Ochobot berjaya mengawal keadaan.

Kemusnahan[]

Setelah Ejo Jo mendapat tahu tentang keberadaan Adu Du dan Probe serta Ochobot di Bumi, dia akhirnya tiba di planet itu dan menyeru Robot PETAI untuk menentang Probe. Probe bertukar menjadi Super Probe lalu bertarung habis-habisan dengan PETAI. Pada penghujungnya, apabila Probe mendapati PETAI ingin menembak Adu Du, dia segera melindungi bosnya daripada serangan itu. Akibatnya, seluruh tubuh Super Probe terlerai kepada bahagian yang lebih kecil dan badan itulah juga yang menjadi khidmat terakhir untuk Adu Du. Sementara Probe melayang jatuh ke bawah, Adu Du berlari ke arahnya untuk menyambut Probe.

"Probe, Robot Tempur... Misi terakhir, tamat..."
— Kata-kata terakhir Probe kepada Adu Du

Ketika dia berlari, Adu Du teringatkan kenangan manisnya bersama Probe. Kemudian, Probe yang hanya tinggal separuh badan meminta maaf kepada bosnya atas kesalahannya yang menyebabkan Ejo Jo datang ke Bumi sementara kor tenaga nyawanya masih bertahan. Probe juga berterima kasih kepada bosnya atas jasanya yang telah mengutip dan menjaganya sementara Adu Du merayu kepada Probe supaya tidak meninggalkannya, namun apakan daya kor tenaganya tidak dapat bertahan lagi. Setelah Probe meninggalkan kata-kata terakhir kepada bosnya, Adu Du hanya boleh berdukacita atas kematian Probe, begitu juga BoBoiBoy dan kawan-kawannya. Selepas kemusnahan Sekolah Rendah Pulau Rintis, bangkai robot Probe telah dibawa kembali ke Markas Kotak oleh BoBoiBoy.

Dihidupkan semula[]

Dalam usaha untuk menghidupkan Probe semula, Adu Du cuba memperbaikinya dengan memasukkan kor tenaga PETAI, tetapi setiap usahanya tidak membuahkan hasil. Oleh itu, Komputer menghubungi Bago Go untuk mendapatkan bantuan. Bago Go menjelaskan bahawa teras kor tenaga PETAI tidak sesuai dengan kor tenaga Probe dan jalan penyelesaiannya adalah dengan memindahkan kor tenaga PETAI ke dalam kor tenaga Probe untuk menghidupkan semula Probe, jadi Adu Du perlu membeli mesin konverter daripada Bago Go untuk menyalurkan tenaga tersebut. Maka Adu Du pergi ke warung Tok Aba untuk merampas koko untuk digadaikan kepada Bago Go dengan bantuan Koko Jumbo tetapi tetap gagal apabila raksasa mini itu dipermainkan oleh BoBoiBoy dan Ochobot.

Namun, apabila mengetahui niat sebenar Adu Du, BoBoiBoy dan Gopal bersama Adu Du bekerjasama untuk membantunya mengumpul dana supaya mempunyai duit yang cukup untuk membeli lima tong koko untuk digadaikan kepada Bago Go, dengan syarat Adu Du mesti menjadi baik. Operasi mereka berjalan dengan lancar sehinggalah seminggu kemudian, lima tong koko yang diperlukan telah berjaya didapatkan untuk diberikan kepada Bago Go supaya Adu Du mendapat konverter tersebut. Setelah pemindahan tenaga berjaya dilaksanakan, pada mulanya Probe berjaya dihidupkan semula, tetapi tidak bertahan lama apabila pemindahan itu ternyata gagal menyebabkan kembali Probe tidak aktif.

Selepas mendapat tahu Koko Jumbo yang telah menjadi gergasi sedang mengamuk di bandar, Adu Du bersama BoBoiBoy dan Gopal cuba menghentikannya, tetapi tidak berjaya. Apabila Koko Jumbo yang berdendam dengan Adu Du cuba untuk melenyekkannya, munculnya Probe dalam bentuk serba baharu menyelamatkan tuannya itu dan menginsafkan Koko Jumbo. Seusai pertarungan itu, Probe mengacu senjata kepada BoBoiBoy dan Gopal akibat hilang ingatan dan mengesan mereka sebagai musuh ketat. Sejurus Adu Du membaling mag besi ke arah Probe untuk memulihkannya, dia akhirnya kembali sedar sebelum bertukar mod ke bentuk asal lalu memeluk Adu Du dengan pelukan yang ramah dan tangisan kegembiraan dalam detik-detik manis yang turut dikongsi bersama BoBoiBoy dan Gopal.

Selepas Probe kembali, dia sering mengalami masalah hilang ingatan sehingga telah tertembak Adu Du sebanyak 21 kali. Maka Komputer mencadangkan untuk menghubungi Bago Go untuk cuba mencari jalan penyelesaian pada masalah itu dan setelah mereka menceritakan masalah mereka kepadanya, Bago Go mengesyorkan seorang pakar untuk mengubati Probe iaitu Wak Baga Ga. Baga Ga menjalankan beberapa rawatan ke atas Probe dengan menggunakan taktik dan tipu dayanya yang licik sebelum memberikan ubat secara percuma kepada mereka, dengan syarat harus membeli sebuah cawan coklat ceri supaya ia mujarab. Sebaik sahaja Probe menyedari bahawa Baga Ga telah menipu mereka untuk membayar jutaan ringgit hanya untuk menyambung wayar yang tercabut di dalam kepalanya, Probe bertukar menjadi Mega Probe dan mengacu senjata ke arah Baga Ga dan Bago Go sebelum akhirnya menembak mereka.

Persaingan dengan BoBoiBot[]

Selepas Adu Du mencipta BoBoiBot untuk menghapuskan BoBoiBoy, hubungan yang semakin akrab antara mereka menyebabkan Probe berasa sangat cemburu, lebih-lebih lagi apabila Adu Du kerap memujinya dan menggelarnya sebagai robot terbaiknya. Apabila dia mengenal pasti kelemahan robot itu, dia telah memberitahu tentang perkara itu kepada BoBoiBoy di belakang Adu Du dengan harapan BoBoiBoy dapat mengalahkannya dan supaya Probe dapat kembali menjadi robot terbaik Adu Du, membolehkannya memperoleh kuasa elemen air untuk merosakkan BoBoiBot. Kemudian, ketika pertarungan antara BoBoiBot dan BoBoiBoy Air, Adu Du telah mendapat tahu bahawa Probe yang telah membocorkan kelemahan BoBoiBot kepada BoBoiBoy akibat dari mulut celopar Gopal yang menjurus kepada kekalahan BoBoiBot.

Adu Du mendapat idea dengan memasukkan titisan air BoBoiBoy ke dalam BoBoiBot, ternyata dia telah tersilap langkah apabila dia tidak mampu mengendalikan kuasa airnya yang telah menyebabkan BoBoiBot berasa tercabar selepas dihina oleh Adu Du dan mula menggila dengan membanjirkan kawasan itu untuk menenggelamkan semua penduduk termasuk Adu Du, tetapi dia telah diselamatkan oleh Probe. Selepas BoBoiBot akhirnya ditewaskan oleh BoBoiBoy, Probe dan Adu Du kembali ke Markas Kotak sebelum Adu Du memarahi Probe kerana menjadi punca kekalahan mereka, tetapi dia tetap memaafkannya kerana dia sangat memahami hasratnya untuk menjadi robot terbaiknya, di samping dia telah menyelamatkannya daripada lemas dan tenggelam dalam serangan pembanjiran BoBoiBot.

Misi Jero-Jero[]

Ketika Raksasa Perisai tiba di Bumi untuk menewaskan BoBoiBoy, Adu Du dan Probe bersama-sama menubuhkan sebuah pasukan penjahat yang dikenali sebagai Superjahat Jero-Jero berbekalkan sut adiwira yang dibeli daripada Bago Go dengan matlamat untuk membantu orang-orang jahat sedunia. Maka mereka membantu Raksasa Perisai untuk bertarung dan mengalahkan BoBoiBoy, tetapi akhirnya mereka dikalahkan dengan mudah menyebabkan dia diberkas oleh BoBoiBoy dan kawan-kawannya dan dipenjarakan di sekolah mereka. Keesokan harinya, Adu Du dan Probe cuba menyelamatkan dan melarikan Raksasa Perisai dengan menyelinap masuk ke Sekolah Rendah Pulau Rintis sekaligus mengacau-bilaukan program Karnival Hari Bumi di sana. Sebelum Raksasa Perisai bertolak ke angkasa lepas, Adu Du dan Probe mendapat tahu bahawa dia merupakan konco Ejo Jo yang membuat mereka menyedari bahawa Ejo Jo sedang menuju ke Bumi.

"Superjahat Jero-Jero, roger and out!"
— Probe kepada BoBoiBoy dan kawan-kawannya sebelum menjunam ke Bumi

Mereka segera menyampaikan berita itu kepada BoBoiBoy dan kawan-kawannya untuk menjalinkan kerjasama dengannya dalam menentang Ejo Jo yang sedang dalam perjalanan ke Bumi bagi mengelakkan berlakunya tragedi dahulu berulang di mana Probe pernah dimusnahkan. Sebaik sahaja kesemua mereka bersedia untuk bertarung dan Ejo Jo tiba di Bumi, pertarungan mereka dihentikan oleh kemunculan Kapten Kaizo di situ yang mengalahkan Ejo Jo dengan sangat mudah. Adu Du dan Probe akhirnya melarikan diri mereka selepas menyedari identitinya sebagai pemberontak legenda. Kemudian selepas BoBoiBoy dan kawan-kawannya kehilangan kuasa mereka, Adu Du dan Probe bersetuju untuk membantu mereka menyelamatkan Fang dan mendapatkan semula kuasa mereka di kapal angkasa Kapten Kaizo yang berada di angkasa sehinggalah kapal angkasa mereka diserang oleh Kapten Kaizo sebelum ia menjunam ke Bumi.

BoBoiBoy: The Movie[]

Probe muncul di dalam filem bersama Adu Du sebagai watak penolong, yang pertama menyertai Bora Ra dan kumpulannya sebelum mereka diperlakukan dengan kasar dan menentang mereka. Dengan Adu Du, dia membentuk kedamaian sementara, dia dilihat berswafoto dengan kawan-kawan BoBoiBoy dan Papa Zola.

BoBoiBoy Galaxy[]

Dalam siri ini, Probe telah dinaik taraf, dapat berubah menjadi kenderaan, mod mecha, dan banyak lagi. Dia kini membantu Adu Du sebagai pemburu Power Sphera sepenuhnya.

Kebolehan[]

Serangan
4/5 Profil Galaxy Probe
Pertahanan
4/5
Ketangkasan
3/5
Keberanian
3/5
Kelajuan
1/5


  • Tembakan Laser: Probe boleh menembak laser dari bahagian kelengkapannya. Ia dilihat dalam Musim 1, Episod 3.
  • Peluru Tidur: Probe boleh melepaskan dua peluru tidur untuk membuatkan sasarannya mengantuk sehingga tertidur. Ia digunakan sewaktu mengejar Ying dalam Musim 1, Episod 3.
  • Gas Tidur: Probe boleh melepaskan gas tidur berwarna hijau pada sasarannya. Ia digunakan pada Ying dalam Musim 1, Episod 3.
  • Serangan Lada Putih: Untuk menghalang Ying melarikan diri dari Buih-buih Mimpi, Probe menyemburkan serbuk lada putih ke arahnya untuk membuatnya bersin dan kehilangan kuasanya. Ia digunakan dalam Musim 1, Episod 8.
  • Dwibahasa: Dalam video di sebalik tabir BoBoiBoy: The Movie, Probe boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Jepun dengan lancar selain bahasa Melayu.
  • Tembakan Lumpur: Probe boleh menembak lumpur dari bahagian badannya selepas terjatuh ke dalam lumpur. Ia digunakan dalam episod Misi Dobi TAPOPS.
  • Tembakan Roket
  • Tembakan Laser Pemusnah

Mod[]

Probe mempunyai kebolehan yang unik di mana dia boleh bertukar menjadi mod-mod berbeza yang setiap satu mempunyai kebolehan mereka sendiri.

  • Mod Tempur: Bertukar seperti Mod Super Probe, Super Makcik Probe, Super Duper Probe, dan Mecha Probe. Mod tempur Probe menggerunkan dan mempunyai senjata yang hebat.
  • Mod Utiliti: Berubah menjadi alat-alat mesin seharian untuk menyamar atau menyenangkan kerja bosnya. Contoh seperti mesin basuh, ketuhar dan tong gas.
    • Mesin Basuh Probe: Probe bertukar menjadi mesin basuh semasa cubaan menguji koko ke-10. Ia hanya muncul dalam Musim 1, Episod 5.
    • Vakum: Menurut Komputer, Probe boleh bertukar menjadi vakum untuk pembersihan. Ia hanya ditunjukkan dalam Musim 1, Episod 10.
    • Ketuhar: Menurut Komputer, Probe boleh bertukar menjadi ketuhar untuk membakar makanan. Ia hanya ditunjukkan dalam Musim 1, Episod 10.
    • Kuali: Menurut Komputer, Probe boleh bertukar menjadi kuali untuk memasak makanan. Ia hanya ditunjukkan dalam Musim 1, Episod 10.
    • Tong Gas: Menurut Komputer, Probe boleh bertukar menjadi tong gas. Ia hanya ditunjukkan dalam Musim 1, Episod 10.
  • Mod Kenderaan: Boleh berubah menjadi kenderaan yang boleh dipandu Adu Du seperti kereta dan helikopter.
    • Kereta Probe: Mod berbentuk kereta yang digunakan dalam BoBoiBoy Galaxy.
      • Ekzos Laser
      • Tembakan Roket
      • Tembakan Laser Pemusnah
    • Probey Copta: Mod berbentuk helikopter yang digunakan dalam BoBoiBoy Movie 2.
    • Probey Jet: Mod berbentuk jet yang digunakan dalam BoBoiBoy Galaxy Musim 2.

Rupa[]

Probe adalah sebuah robot berapung yang berbentuk piring terbang berwarna ungu dengan mata yang berwarna merah dan giginya yang panjang lebar, dilengkapi dengan sepasang sepit dan banyak lagi kelengkapan di dalam tubuhnya.

Perwatakan[]

Walaupun tidak tahan dengan perangai Adu Du, namun dia cenderung memerli dan mengumpat apabila dimarahi atau diberikan tugas yang susah oleh bosnya. Walaupun dia dianggap pendek akal oleh bosnya, namun dia masih mampu menunjukkan kelicikannya. Dia juga berasa kagum dengan kehebatan BoBoiBoy dan kawan-kawan, terutamanya apabila melihat dengan matanya sendiri ketika menyorok untuk mengintai gerak-geri mereka.

Probe sentiasa disenangi dan juga lurus, tetapi kadang-kala dia boleh menjadi cekap dan peka. Probe mempunyai ciri-ciri yang mirip dengan manusia seperti gemar menonton TV, membaca dan gemar mengenakan kostum[1].

Kemunculan[]

Trivia[]

  • Nama Probe bermaksud "siasat" dalam Bahasa Malaysia.
  • Menurut Probe dalam Musim 1, Episod 10, dia boleh diaktifkan melalui air paip. Ini juga menunjukkan bahawa dia peminat setia BoBoiBoy, walaupun dia masih menjadi robot tempur kepunyaan Adu Du.
  • Dalam musim pertama dan musim kedua, Probe telah melakukan penyamaran sebagai Makcik Saodah dan pencuci Sekolah Rendah Pulau Rintis.
  • Probe telah mendedahkan dalam Musim 2, Episod 2 bahawa dia suka membaca buku-buku seram sebelum tidur. Koleksi buku seram Probe termasuklah:
    • Zombie Biskut Makan Biskut
    • Hantu Askar Roti Perancis
    • Hantu Lilin Cari Mancis
    • Hantu Raya Tertinggal Bas
    • Jembalang Air Kehausan
    • Pontianak Pokok Strawberry
  • Probe juga menulis cerita seramnya sendiri berdasarkan Adu Du yang bertajuk Misteri Toyol Berkepala Kotak di Markas Kotak. Nama penuh Probe juga turut didedahkan dalam karya ini iaitu A.R. Probe.
  • Probe adalah watak pertama dalam siri ini yang 'mati' secara kanon, walau bagaimanapun, dia dihidupkan kembali kemudian dalam Musim 3.
  • Probe tidak perlu makan, tetapi perlu cas tenaga.
  • Minuman kegemaran Probe ialah minuman koko.
  • Subjek kegemaran Probe ialah karangan.
  • Jenis lagu kegemaran Probe ialah lagu-lagu Bollywood.
  • Warna kegemaran Probe ialah ungu, sesuai dengan warnanya.
  • Walaupun sentiasa dibuli oleh Adu Du, Probe masih lagi tetap setia bersama bosnya itu.
  • Sejak tiba ke bumi, dia suka menonton drama telenovela dari planet bumi.

Galeri[]

Wiki-wordmark
Wiki BoBoiBoy mempunyai pelbagai gambar menarik tentang Probe. Rujuk Probe/Galeri.

Video[]

Rujukan[]

Advertisement